SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir akan memohon lanjutan tempoh selama enam bulan bagi menangguhkan kerja perobohan rumah di Gum-Gum, Batu 16, bagi memberi lebih masa kepada penduduk terjejas berpindah sebelum kawasan itu digunakan untuk pembinaan balai bomba baharu.
Suhaimi berkata permohonan itu susulan notis yang dikeluarkan kepada penduduk supaya mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh sebulan.
“Kita memahami kesukaran yang dihadapi penduduk terjejas.
“Pada masa sama kita tidak menolak pembangunan kerana kemudahan itu juga amat diperlukan oleh penduduk di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog bersama penduduk di Dewan Serbaguna Kampung Gum-Gum baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa walaupun pembinaan balai bomba baharu penting, proses pemindahan penduduk perlu dilaksanakan secara adil dengan kebajikan mereka menjadi keutamaan.
Advertisement

Balai Bomba dan Penyelamat Kategori C itu merupakan antara projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan di bawah fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Suhaimi berkata projek itu juga akan dibentangkan selepas Belanjawan 2027 pada Oktober depan bagi mendapatkan kelulusan peruntukan tambahan.
Mengulas lanjut beliau dimaklumkan sebanyak 75 rumah akan terjejas akibat projek berkenaan manakala 18 lagi rumah turut terbabit kerana berada di atas tanah milik kerajaan.
Suhaimi mencadangkan agar penduduk tempatan yang terjejas diberikan kawasan penempatan baharu bagi memastikan mereka mempunyai tempat tinggal selepas berpindah.
Sementara itu dalam sesi dialog tersebut penduduk menyuarakan kebimbangan berkaitan proses pemindahan serta kediaman masa depan mereka.
Sebahagian penduduk mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan tanah rizab kosong lain di kawasan berkenaan sebagai tapak alternatif untuk pembinaan balai bomba.
Sementara itu Adun Gum-Gum Arunarnsin Taib mencadangkan agar tanah kerajaan yang tidak digunakan dipertimbangkan bagi tujuan projek tersebut.
Pada akhir sesi penduduk digalakkan menubuhkan jawatankuasa tindakan bagi berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dalam usaha mencari penyelesaian.