SELEPAS lebih setahun, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akhirnya memulakan kerja-kerja menaik taraf lampu jalan di sebahagian kawasan Tanjung Aru susulan aduan mengenai beberapa kejadian pecah rumah di Jalan Rumah Pangsa 1.
Penduduk yang membangkitkan isu itu telah menyalurkan maklumat berkaitan kejadian tersebut kepada Hotline sebelum aduan berkenaan dikemukakan kepada DBKK untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek menaik taraf sistem pencahayaan di kawasan Tanjung Aru telah mengambil alih tapak projek pada Isnin.
DUA buah rumah di jalan yang kurang pencahayaan di Tanjung Aru ini menjadi sasaran pecah rumah tahun lalu.
Menurutnya kontraktor diberikan tempoh lapan minggu untuk menyiapkan kerja-kerja melibatkan pemasangan baharu dan penaiktarafan sebanyak 37 lampu jalan di enam jalan perumahan berhampiran bandar.
Enam jalan terbabit ialah Jalan Rumah Pangsa 1, Jalan Rumah Pangsa 2, Jalan Murni, Jalan Ralph Hone, Jalan Murai dan Jalan Pavitt Place.
Daripada jumlah itu sebanyak 22 tiang lampu lengan tunggal baharu akan dipasang, manakala kerja-kerja menaik taraf akan dilakukan ke atas 10 tiang lampu lengan tunggal dan lima tiang lampu jenis pelekap.
Advertisement

Beliau berkata projek penambahbaikan itu dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai usaha meningkatkan pencahayaan awam dan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Pada awalnya kami berharap dapat memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Negeri. Seorang ahli politik telah menghantar surat kepada kami pada April tahun lalu supaya menyediakan Bill of Quantity (BQ) bagi melaksanakan projek yang mendesak ini.
“Kami mengemukakan semua dokumen yang diperlukan kepada Kementerian sebulan kemudian,” katanya.
Menurut beliau jalan-jalan yang disenaraikan dalam dokumen tersebut ialah Jalan Murni, Jalan Murai, Jalan Rumah Pangsa 1, Jalan Rumah Pangsa 2, Jalan Sir Ralph Hone, Jalan Datuk Willie, Jalan Kampung Tanjung Aru dan Jalan Balai.
Jurucakap itu berkata sehingga Disember lalu, DBKK hanya menerima kelulusan untuk pemasangan lampu jalan baharu di Jalan Kampung Tanjung Aru dan Jalan Balai.
Sementara itu seorang penduduk Tanjung Aru yang hanya mahu dikenali sebagai Lovie berkata, kekurangan pencahayaan di Jalan Rumah Pangsa 1 membuatkan beliau berasa tidak selamat ketika memandu pulang pada waktu malam.
Beliau berkata lampu jalan di jalan tersebut kelihatan berfungsi secara tidak menentu dengan ada kalanya menyala dan ada kalanya padam.
“Seorang jiran saya pernah mengemukakan aduan kepada DBKK mengenai kekurangan pencahayaan di kawasan ini dan tidak lama selepas itu lampu jalan kembali berfungsi,” ujarnya.
Bagaimanapun menurut Lovie, hanya beberapa hari kemudian kemudahan itu rosak semula dan lampu jalan kembali padam.
Lovie berkata rumahnya dan beberapa rumah jiran menjadi sasaran pecah rumah tahun lalu.
“Rumah saya dipecah masuk pada awal 2025. Pencuri melarikan sebuah komputer riba, telefon bimbit, beg silang, tabung, gelang kristal serta beberapa barang kemas emas yang saya terima sebagai hadiah perkahwinan.
“Mereka memasuki rumah melalui tingkap dapur pada awal pagi ketika saya dan keluarga sedang tidur. Syukur tiada seorang pun daripada kami dicederakan ketika mereka menggeledah rumah,” jelasnya.
Beliau percaya individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada keadaan jalan yang hampir gelap gelita untuk melakukan jenayah.
Seorang lagi penduduk Tanjung Aru yang hanya mahu dikenali sebagai Shang turut berkongsi kebimbangan sama dan memaklumkan bahawa rumahnya dipecah masuk pada Februari tahun lalu.
“Penceroboh itu datang dengan sebuah kenderaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran kira-kira jam 4 pagi sebelum memasuki kawasan rumah saya. Dia kemudian mematikan lampu di anjung kereta serta di bahagian belakang rumah.
“Individu itu turut menutup lampu limpah di halaman depan rumah saya dengan sehelai kain sebelum cuba mengumpil pintu pagar hadapan rumah,” katanya.
Bagaimanapun menurut Shang, suspek gagal memasuki rumah dan beredar tanpa berlaku sebarang kejadian lain.
“Semua kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran saya.
“Apabila saya membuat laporan polis, saya turut merayu kepada pegawai yang mengambil laporan supaya rondaan polis di Jalan Rumah Pangsa 1 dipertingkatkan bagi menghalang penceroboh daripada menyasarkan rumah-rumah lain di kawasan itu,” tambahnya.
Sementara itu jurucakap DBKK berkata, semakan rekod mendapati hanya terdapat dua lampu jalan di Jalan Rumah Pangsa 1, iaitu lokasi berlakunya kejadian pecah rumah tersebut.
Menurutnya kontraktor penyelenggaraan elektrik DBKK telah memeriksa lampu jalan berkenaan pada awal bulan ini dan menggantikan mentol serta sel foto (photocell) yang rosak apabila perlu.
Ketika ditanya mengenai kekerapan penyelenggaraan lampu jalan, beliau berkata kerja-kerja tersebut dilaksanakan mengikut keperluan apabila terdapat kerosakan atau aduan.