Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1.6126 bilion bagi membiayai perbelanjaan operasi sehingga penghujung tahun ini.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata peruntukan tambahan itu melibatkan 53 kepala perbelanjaan seperti yang diperincikan dalam Penyata Anggaran Perbelanjaan Tambahan 2026.
Advertisement

Masidi, yang juga Timbalan Ketua Menteri II, berkata semua anggaran tambahan itu adalah perlu bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar sehingga penghujung 2026.
Peruntukan tambahan itu merangkumi enam kategori utama perbelanjaan iaitu caruman kepada kumpulan wang berkanun sebanyak RM856 juta atau 53 peratus, perbelanjaan operasi RM278 juta (17 peratus), pelaburan RM210 juta (13 peratus), perbelanjaan pentadbiran RM162 juta (10 peratus), pemberian dalam negeri RM93 juta (enam peratus) dan peruntukan khas RM13 juta (satu peratus).
Masidi berkata sebahagian besar peruntukan tambahan yang dicadangkan adalah bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun yang tidak melibatkan aliran keluar tunai, sebaliknya merupakan pelarasan perakaunan menerusi “pemindahan buku” dalaman bagi mematuhi Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 dan Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Daripada RM856 juta itu, RM700 juta (81.8 peratus) merupakan caruman tambahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan.
Advertisement

“Sebanyak RM90 juta (10.5 peratus) lagi adalah caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun bagi operasi dan penyelenggaraan jalan raya serta jambatan di seluruh Sabah, manakala RM66 juta (7.7 peratus) akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Khas Kerajaan Negeri bagi pembinaan dan menaik taraf infrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan utiliti, selain program pembasmian kemiskinan, termasuk Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur),” katanya.
Beliau berkata sebanyak RM264.24 juta dicadangkan di bawah peruntukan Perkhidmatan Am Perbendaharaan, meliputi RM210 juta bagi pelaburan ekuiti, RM22 juta bagi pemberian dalam negeri untuk menampung bayaran pemeriksaan perubatan, bantuan kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah jenis kebangsaan, serta RM13 juta bagi kerja pembersihan perairan pantai di Kota Kinabalu dan Semporna, selain membiayai pelbagai permohonan peruntukan yang diterima daripada agensi.
Masidi berkata peruntukan tambahan itu juga akan digunakan bagi penyelenggaraan sistem bekalan air dan pembetungan, pembaikan kerosakan akibat bencana alam, kerja penyelenggaraan dan pendawaian elektrik di bangunan kerajaan, selain menampung perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain.
Beliau berkata Jabatan Ketua Menteri dan agensi di bawahnya akan menerima tambahan RM86 juta bagi membiayai biasiswa Kerajaan Negeri serta pelbagai program bantuan pendidikan, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (Budi), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (Sentosa), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (Subfly) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (Sukses).
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta jabatan di bawahnya pula dicadangkan menerima tambahan RM43 juta bagi penyelenggaraan sistem saliran, pembersihan sungai, kerja mitigasi banjir serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pejabat daerah di seluruh negeri diperuntukkan tambahan RM30.6 juta, termasuk RM24.5 juta bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), manakala bakinya untuk perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain.
Masidi berkata Kementerian Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Ekonomi Kreatif dicadangkan menerima tambahan RM24 juta bagi menampung perbelanjaan pentadbiran dan operasi, persiapan serta penyertaan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 di Selangor, selain penganjuran Sukan BIMP-EAGA 2026.
Beliau berkata kementerian dan jabatan kerajaan negeri lain akan menerima tambahan RM77.4 juta bagi pelbagai tujuan, termasuk pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, Pusat Pembangunan Kemahiran Sabah (SSTC), Sabah Creative Economy and Innovation Centre (Scenic), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet).
Peruntukan tambahan itu turut menyediakan bantuan kepada tabung bantuan bencana, bantuan kebajikan kepada anak yatim dan golongan miskin, serta penyelenggaraan rumah warga emas.
Sementara itu, Masidi mencadangkan tambahan Anggaran Pembangunan 2026 berjumlah RM435.54 juta melibatkan 35 kepala perbelanjaan di bawah sembilan kementerian.
Daripada jumlah itu, RM216.34 juta (49.7 peratus) akan dibiayai menerusi Kumpulan Wang Negeri, manakala RM219.20 juta (50.3 peratus) dibiayai melalui pinjaman Persekutuan.
Masidi berkata antara peruntukan terbesar adalah bagi sektor bekalan air dan pembetungan, termasuk projek penggantian paip utama serta pembayaran konsesi di bawah Jabatan Air Negeri Sabah.
Peruntukan itu juga akan membiayai Projek Pembangunan Sistem Bil Perkhidmatan Pembetungan serta skim pembetungan di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah.
Beliau berkata peruntukan kedua terbesar sebanyak RM62.58 juta dicadangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membiayai Projek-Projek Kecil Pembangunan, Peruntukan Khas Ahli Dewan Undangan Negeri, Projek Jambatan Kecil Luar Bandar, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (Balba) dan Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS).
Selain itu, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan bagi membiayai pelaksanaan projek berkaitan infrastruktur asas dan kemudahan awam yang memerlukan tindakan segera.
Jabatan Ketua Menteri pula akan menerima RM55 juta bagi menampung kos Projek Pembangunan Khas serta pengambilan tanah di bawah Jabatan Tanah dan Ukur.
Kementerian Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Ekonomi Kreatif turut menerima RM15.2 juta bagi membiayai pembinaan kompleks sukan negeri, asrama kompleks sukan, kerja-kerja awal Projek Stadium Likas II serta kerja penyelenggaraan kompleks sukan di seluruh Sabah.
Peruntukan tambahan lain termasuk RM5.5 juta kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi membiayai projek pembangunan di bawah pihak berkuasa tempatan, RM2 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bagi membiayai Kompleks Bersepadu Orang Kurang Upaya dan Warga Emas di Inanam, Kota Kinabalu yang kini sedang dilaksanakan, serta RM1.56 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi membiayai projek di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.