LABUAN: Ogos ini dijangka membawa limpahan ekonomi kepada Labuan dan Papar apabila hampir 1,500 pekerja akan terbabit dalam kerja-kerja penyelenggaraan berjadual melibatkan beberapa kemudahan minyak dan gas (O&G) yang dihentikan sementara operasi.
Sumber yang mengetahui perkara itu berkata selain Petronas Methanol Labuan (PML), Terminal Gas Labuan Petronas Carigali Sdn Bhd (LGT) yang meliputi kawasan seluas 24 hektar di Kiamsam serta Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Papar, beberapa lagi kemudahan luar pesisir turut menjadualkan kerja TA (turnaround) pada Ogos.
Beliau berkata tenaga kerja mahir dan separa mahir dari pelbagai negeri, termasuk Labuan, akan terbabit dalam pelbagai kerja sepanjang kira-kira sebulan.
Menurutnya, walaupun operasi kali ini tidak sebesar pada 2024 apabila penutupan sementara PML dan beberapa kemudahan lain melibatkan kira-kira 3,500 pekerja sementara, perniagaan tempatan dijangka tetap menikmati limpahan ekonomi berikutan pekerja terbabit menerima gaji yang baik dan lazimnya mempunyai kuasa perbelanjaan yang tinggi.
Katanya, beberapa sektor ekonomi tempatan dijangka menerima manfaat daripada peningkatan aktiviti itu.
Sementara itu, bekas kakitangan kanan Shell, George Elias berkata Labuan memerlukan lebih banyak aktiviti O&G bagi merangsang semula ekonomi pulau berkenaan.
Advertisement

Beliau berkata ekonomi Labuan mula menguncup pada 2017 apabila Petronas Carigali Sdn Bhd memindahkan operasinya susulan gesaan kerajaan Sabah dan Sarawak supaya syarikat itu memperkukuh kehadiran operasi di negeri masing-masing.
Katanya, Petronas sebelum itu merupakan penyewa utama di Asian Supply Base (ASB) dan pemindahan operasi berkenaan menyebabkan banyak syarikat penyedia perkhidmatan turut berpindah atau mengecilkan operasi.
“Selama bertahun-tahun, aktiviti O&G yang rancak membantu menggerakkan ekonomi, namun sejak perkembangan pada 2017 banyak syarikat menutup atau mengecilkan operasi secara senyap tanpa mendapat perhatian,” katanya.
George berkata keadaan Labuan bertambah sukar selepas status bebas cukai bagi penjualan rokok ditarik balik, diikuti penguatkuasaan had pembelian empat tin minuman keras bebas cukai bagi setiap pelawat, yang menurutnya memberi kesan besar kepada sektor pelancongan.
Katanya, pelbagai dewan perniagaan telah menyuarakan bantahan berhubung perkara itu, namun tidak mendapat perhatian.
Beliau turut menyatakan bahawa sejak Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984, pulau itu secara beransur-ansur kehilangan pelbagai kelebihan yang pernah dinikmati.
“Malah, jawatan kanan dalam perkhidmatan awam juga didominasi oleh pegawai Persekutuan,” katanya.
George berkata sekiranya keadaan itu tidak dikaji semula dan diperbaiki, Labuan akan terus berdepan kesukaran untuk berkembang dari segi ekonomi.
Beliau berkata Labuan kini mengharapkan limpahan manfaat daripada pertumbuhan sektor O&G di Sabah serta berusaha mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti industri itu, namun menyifatkan harapan tersebut “seperti mengejar mimpi yang sukar menjadi kenyataan.”