SANDAKAN: Bantuan kewangan Kerajaan Negeri kepada sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah meningkat lebih 100 peratus daripada RM43 juta pada 2020 kepada RM90 juta tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peningkatan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam membantu institusi pendidikan dan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata bantuan tahunan itu meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta (2023), RM56.75 juta (2024), RM70 juta (2025) dan RM90 juta pada tahun ini.
“Pada tahun ini, kerajaan mengambil langkah menaikkan jumlah keseluruhan bantuan kepada RM90 juta,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kewangan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pantai Timur Sandakan 2026 di Dewan SJKC Chi Hwa, di sini, Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri; dan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong.
Advertisement

Hajiji berkata peningkatan bantuan secara konsisten sejak 2020 membuktikan bahawa apabila ekonomi negeri semakin kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan semakin stabil, manfaatnya dikembalikan kepada rakyat.
“Adalah diharapkan sumbangan ini dapat membantu aktiviti sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah. Inilah komitmen kerajaan GRS dalam memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat perhatian yang adil serta menikmati hasil pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata bantuan itu melambangkan sokongan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Sama-sama kita berusaha menjadikan Sabah terus maju, aman dan makmur demi kesejahteraan kita semua,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri turut melakar sejarah apabila mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekali gus membuka peluang kepada pemegang sijil itu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
“Langkah ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian sistem pendidikan yang wujud di negeri ini.
“Apa yang paling penting ialah melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM9 juta diluluskan bagi Zon Pantai Timur yang meliputi Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah itu, RM4.41 juta diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan yang terdiri daripada sebuah sekolah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis kebangsaan, 10 sekolah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah kebangsaan mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah swasta mubaligh.
Sebanyak RM4.58 juta lagi diperuntukkan kepada badan keagamaan bukan Islam melibatkan 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong dan dua kuil.
“Pada tahun ini juga, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja telah diluluskan. Saya berharap bantuan yang disampaikan hari ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan, pembangunan pendidikan dan aktiviti kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.
“Kita tidak melihat bangsa atau agama dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya kita melihat keperluan rakyat dan masa depan negeri yang perlu dibangunkan bersama.
“Inilah semangat yang menjadi pegangan Kerajaan GRS sejak diberi mandat mentadbir negeri ini. Saya yakin dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi identiti rakyat Sabah, negeri ini akan terus maju, makmur dan stabil. Inilah asas yang akan terus memacu Sabah Maju Jaya untuk generasi hari ini dan akan datang.
“Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita akan terus berusaha menangani pelbagai isu serta memastikan semua kaum, tanpa mengira warna kulit dan agama, mendapat pembelaan yang adil dan saksama.
“Sebab itu saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang memerlukan bantuan. Inilah semangat kekitaan dan kebersamaan yang menjadi prinsip perjuangan GRS dan kerajaan negeri sejak membentuk kerajaan pada 2020,” katanya.