Kuala Lumpur: Sebanyak 15,881 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini, mencerminkan komitmen kerajaan memperluaskan akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan itu meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara serta 40 zon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) semasa sesi Dewan Rakyat.
Menurutnya, sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,304 siri PJRM dianjurkan di Perak, termasuk 43 siri di Parlimen Kuala Kangsar membabitkan 21 siri di DUN Bukit Chandan dan 22 siri di DUN Manong.
“Rekod menunjukkan sebanyak 6,870 siri PJRM dilaksanakan pada 2023 sebelum meningkat kepada 12,419 siri pada 2024 dan melonjak kepada 25,708 siri sepanjang 2025.
“Bagi tahun ini, sasaran asal ditetapkan sebanyak 23,040 siri. Bagaimanapun, sasaran itu dinaikkan kepada 30,000 siri susulan pengumuman Perdana Menteri pada Mei lalu sebagai langkah intervensi kerajaan membantu rakyat menghadapi kesan krisis tenaga dan bekalan akibat konflik di Asia Barat,” katanya.
Armizan berkata kerajaan akan terus meningkatkan kekerapan penganjuran PJRM sejajar dengan sambutan dan maklum balas positif daripada rakyat, disokong oleh peruntukan tambahan yang disalurkan setiap tahun.
Beliau berkata, selain meningkatkan jumlah penganjuran, kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan PJRM menerusi lima pendekatan utama sejak pentadbiran Kerajaan Madani.
Menurutnya, pendekatan pertama ialah menginstitusikan PJRM sebagai program tetap kerajaan. Bermula 2024, program itu dimasukkan secara rasmi dalam Belanjawan Tahunan Kerajaan dengan kod aktiviti serta peruntukan khusus di bawah agenda Payung Rahmah, berbeza dengan program jualan murah sebelum ini yang dilaksanakan secara bermusim.
“Pendekatan kedua ialah menetapkan sasaran tahunan dan jumlah pelaksanaan mengikut setiap DUN dan zon di seluruh negara bagi memastikan penganjuran lebih tersusun dan menyeluruh.
“Ketiga, kerajaan membuka ruang penyertaan lebih luas kepada syarikat, perniagaan dan koperasi sektor peruncitan sebagai rakan strategik. Sehingga 29 Jun 2026, seramai 2,695 rakan strategik peruncitan mengambil bahagian dalam pelaksanaan PJRM di seluruh negara.
“Pendekatan keempat melibatkan peluasan akses kepada rakyat menerusi tiga kaedah pelaksanaan iaitu jualan dalam premis, luar premis (statik) dan PJRM bergerak, selain penganjuran program bertema seperti musim perayaan, Hari Gaji dan musim pembukaan sekolah yang meliputi kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman.
“Pendekatan kelima pula ialah memperkenalkan Takwim PJRM bermula 2025 bagi membolehkan orang ramai mengetahui lebih awal tarikh, masa dan lokasi penganjuran di setiap zon,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu memudahkan rakyat merancang pembelian barangan keperluan lebih awal di lokasi berhampiran, sekali gus meningkatkan keberkesanan PJRM dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.
Sehubungan itu, katanya, KPDN akan terus memperkasa PJRM sebagai antara instrumen utama kerajaan bagi memastikan rakyat menikmati bekalan barangan keperluan pada harga berpatutan di samping mengurangkan beban kos sara hidup.