PENAMPANG: Penduduk Apartmen Country Heights menggesa Bahagian Kesihatan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) menjalankan pemeriksaan segera susulan masalah tikus yang semakin serius dan dibimbangi mengancam kesihatan awam.
Pengarah Komunikasi Strategik Pusat Warisan Christopher Masudal berkata beliau menerima aduan daripada penduduk sebelum turun padang meninjau keadaan di kawasan berkenaan.
Advertisement

“Hasil lawatan mendapati terdapat banyak tanda kehadiran tikus, termasuk najis haiwan itu di sekitar Blok N.
“Daripada maklum balas penduduk, serangan tikus dipercayai berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak teratur berhampiran kawasan parkir blok berkenaan.
“Seorang penduduk memaklumkan keretanya terpaksa dibaiki sebanyak dua kali selepas tikus memasuki ruang enjin dan menggigit putus sistem pendawaian,” katanya.
Sehubungan itu Christopher menggesa MPP menghantar pegawai bahagian kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh di semua blok apartmen serta mengambil tindakan kawalan perosak dengan kadar segera.
Menurutnya isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana tikus berpotensi menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya seperti leptospirosis (kencing tikus), salmonelosis dan jangkitan lain melalui air kencing, najis serta makanan atau permukaan yang tercemar.
“Kita berharap tindakan segera dapat diambil sebelum berlaku penularan penyakit yang menjejaskan penduduk,” tegasnya.
Beliau turut menggesa pihak pengurusan apartmen dan penduduk bekerjasama meningkatkan tahap kebersihan dengan menguruskan sisa pepejal secara lebih sistematik serta tidak membuang perabot lama sesuka hati.
Menurutnya pihak pengurusan juga perlu memastikan kutipan sampah dilakukan mengikut jadual selain menyediakan kawasan pengumpulan sisa yang lebih sesuai bagi setiap blok.
Sementara itu keadaan longkang yang dipenuhi air bertakung dan mengeluarkan bau busuk di Country Heights Plaza turut menimbulkan kebimbangan penghuni serta peniaga di kawasan berkenaan.
Ketua Penerangan Wanita Warisan Penampang Agnes Kinsil berkata pihaknya menerima aduan mengenai sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik dan memerlukan tindakan segera.
“Longkang sebagai infrastruktur penting perlu diselenggara dengan sempurna, manakala haiwan perosak seperti tikus juga perlu dikawal terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri dan MPP perlu mengambil tindakan segera membaik pulih sistem perparitan serta menaik taraf kawasan komersial itu supaya kembali menjadi pusat perniagaan yang selesa dan selamat.
Jelas beliau ketika lawatan bersama Christopher pada 1 Julai lalu mereka mendapati air kotor bertakung di dalam longkang sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Selain itu hampir semua penutup lohong besi didapati hilang atau rosak akibat berkarat sehingga memaksa sesetengah peniaga menutup lohong terbuka menggunakan papan lapis sebagai langkah sementara.
“Keadaan ini bukan sahaja membahayakan orang ramai, malah mencacatkan imej kawasan komersial ini sehingga kelihatan seperti kawasan yang tidak terurus,” katanya.
Agnes berkata pemilik premis turut meluahkan rasa kecewa kerana lokasi strategik Country Heights Plaza tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat komersial yang mampu menjana peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar Kampung Kibabaig, Minintod dan Bantayan.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan bahawa penyelenggaraan kawasan itu kini berada di bawah tanggungjawab MPP dan berharap pihak berkuasa tempatan berkenaan dapat menghidupkan semula kawasan tersebut.