RANAU: Seramai 76 individu menjalani Saringan Kesihatan Asas manakala sebanyak sembilan beg darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah sempena Program Saringan Kesihatan Asas untuk Komuniti Migran yang diadakan di Dewan St. Victor Bongkud, baru-baru ini.
Program yang menterjemahkan semangat kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan itu dianjurkan bersama oleh Catholic Nurses Guild (CNG) & Affiliates Ranau, Caritas dan Jawatankuasa Migran Paroki St. Peter Claver Ranau (SPCR).
Diadakan sempena sambutan Hari Prihatin Sedunia, program itu menghimpunkan petugas kesihatan, sukarelawan gereja dan komuniti migran dalam usaha memastikan golongan yang sering berdepan kesukaran mendapatkan rawatan asas turut menerima perhatian dan sokongan yang sewajarnya.
Program itu diadakan khusus bagi membantu komuniti migran di daerah Ranau dan Kundasang yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan.
Pelbagai saringan kesihatan disediakan secara percuma, termasuk pemeriksaan tekanan darah, kadar denyutan nadi, paras oksigen dalam darah, indeks jisim badan (BMI), pemeriksaan fizikal, pemeriksaan mata, pemeriksaan payudara bagi wanita, serta ujian darah untuk mengesan paras gula, asid urik dan kolesterol.
Peserta yang dikenal pasti memerlukan rawatan lanjut turut diberikan sesi konsultasi serta dirujuk ke kemudahan kesihatan yang bersesuaian.
Selain saringan kesihatan, peserta turut mengikuti ceramah kesihatan yang menekankan pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi dan diabetes di samping meningkatkan kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat serta penjagaan kesihatan kendiri.