RANAU: Seramai 34 pengusaha pertanian di daerah ini menerima pensijilan myGAP (Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia) dan myOrganic (Skim Pensijilan Organik Malaysia).
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pengusaha pertanian dan pengguna kini semakin peka terhadap aspek kualiti, keselamatan serta kesegaran makanan yang dihasilkan dan dinikmati setiap hari.
“Di sinilah terletaknya peranan penting program pensijilan myGAP dan myOrganic yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Sabah sejak 2002.
“Saya difahamkan pensijilan myGAP menitikberatkan amalan pertanian yang baik, meningkatkan hasil pengeluaran, mesra alam dan menjaga kebajikan pekerja, selain memastikan hasil tanaman selamat dimakan, bersih serta berkualiti.
“Manakala myOrganic pula merupakan pengiktirafan kepada pengusaha pertanian yang mengamalkan sistem pengeluaran menggunakan sepenuhnya bahan semula jadi tanpa penggunaan racun kimia sintetik.
“Kedua-dua pensijilan ini bukan sahaja menjamin kualiti dan keselamatan makanan, malah meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan, memperkukuh penjenamaan hasil pertanian di pasaran domestik dan antarabangsa serta membuka akses kepada pasaran premium dan eksport yang lebih luas,” katanya.
Dr Joachim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang, berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran myGAP dan myOrganic Kundasang 2026 di Dewan Terbuka Pekan Kundasang, di sini, Ahad lepas.
Dr Joachim menyeru lebih ramai pengusaha pertanian, khususnya di Kundasang, supaya menyertai program pensijilan berkenaan serta memanfaatkan khidmat nasihat, bimbingan dan pelbagai insentif yang disediakan oleh Jabatan Pertanian Sabah bagi memperoleh pensijilan myGAP atau myOrganic, di samping memperluaskan Agro Green Zone.
Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai cabaran perlu dihadapi bagi memastikan produk pertanian terus berkualiti, selamat dan mencukupi, susulan tekanan krisis global yang memberi kesan kepada sektor pengeluaran makanan negara.
“Antara kesan ketara yang dihadapi ialah peningkatan kos operasi, kenaikan harga input pertanian seperti baja dan racun, penurunan hasil komoditi serta gangguan pasaran.
“Faktor-faktor ini secara langsung mempengaruhi kuantiti pengeluaran, harga pasaran, kos pengeluaran, kos pengangkutan dan kebajikan pekerja.
“Saya percaya Jabatan Pertanian akan terus memberi bimbingan dan khidmat nasihat dalam mengurus serta mengendalikan ladang supaya kesan tekanan krisis global ini dapat diminimumkan,” katanya.
Beliau berkata pensijilan myGAP dan myOrganic bukan sahaja memberi nilai tambah kepada hasil pertanian, malah membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk ke pasaran antarabangsa dan eksport.
Turut hadir Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau Elmer M. Sator dan Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Ranau, Kelvin Kalianon.