Kota Kinabalu: Kejayaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada komitmen, keupayaan dan semangat kerja berpasukan seluruh perkhidmatan awam dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Beliau berkata, Pelan Hala Tuju SMJ 2.0 berteraskan prinsip bahawa kejayaan sesebuah kerajaan tidak diukur berdasarkan dasar yang diumumkan, sebaliknya sejauh mana dasar itu mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Berucap ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa, beliau berkata semangat tanggungjawab bersama perlu menjadi teras dalam perkhidmatan awam.
Katanya, budaya bekerja secara berasingan atau “silo mentality” perlu digantikan dengan pendekatan kolaboratif yang meletakkan setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai rakan strategik dalam memacu agenda pembangunan negeri.
“Kerjasama strategik perlu diperkukuh antara kementerian dan agensi di peringkat negeri serta Persekutuan.
“Pada masa sama, sinergi dengan sektor swasta, institusi akademik dan komuniti perlu diperluaskan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh komunikasi strategik menerusi pelaporan prestasi yang telus, penggunaan papan pemuka pemantauan serta perkongsian data yang berkesan.
“Ini bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dipantau, dinilai serta ditambah baik secara berterusan,” katanya.
Zainudin berkata, perkembangan pesat teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), telah mengubah landskap global serta cara sektor awam melaksanakan tanggungjawab hariannya.
“Sehubungan itu, SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan AI sebagai pemacu strategik yang mampu memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan kaedah perancangan, membuat keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian di bawah SMJ 1.0 membuktikan bahawa dasar yang jelas dan disokong pelaksanaan berkesan mampu memberi manfaat nyata kepada negeri serta rakyat.
“Bagi SMJ 2.0, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak lagi dinilai berdasarkan kualiti laporan semata-mata, tetapi sejauh mana ia meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Hampir 300 jawatan awam akan diwujud
Zainudin berkata, susulan pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Isnin, beberapa perkara penting telah dipersetujui bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan pelaksanaan agenda pembangunan Sabah.
Antaranya ialah pelaksanaan Reformasi Birokrasi dalam pengurusan projek menerusi konsep “Review, Keep and Boost” (RKB) bagi mempercepatkan proses pengurusan projek di Sabah.
Beliau berkata, persetujuan turut dicapai bagi mewujudkan hampir 300 jawatan melibatkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa memerlukan “Self Audit of Establishment and Organisation”.
Selain itu, katanya, mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenai projek-projek pembangunan akan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi meneliti kemajuan pelaksanaan projek serta menyelesaikan isu berbangkit.
Beliau menyeru semua Setiausaha Tetap dan Ketua Jabatan mengutamakan pelaksanaan pendekatan “Review, Keep and Boost” dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu prosedur kerja sedia ada yang boleh ditambah baik.
Pada masa sama, beliau menggesa setiap kementerian dan jabatan mempunyai pelan strategik, pensijilan ISO, Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) dan Amalan Baik Peraturan (GRP), selain mengintegrasikan AI dalam proses kerja bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Zainudin berkata, SMJ 2.0 dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi melalui sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan; pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta keterhubungan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Katanya, pelan itu turut disokong oleh lima pemangkin dan tiga bidang tumpuan, iaitu ekonomi biru, penggunaan AI serta pembangunan inklusif.
Beliau menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi menyelaraskan strategi, inisiatif serta KPI masing-masing dengan hala tuju SMJ 2.0 bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan berkesan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.