TAWAU: Skop penugasan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) lantikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran supaya diperluaskan hingga ke kawasan luar pagar sekolah untuk mengekang gejala gangsterisme dan keganasan pelajar.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata langkah drastik itu dilihat amat perlu mengambil kira insiden buli, salah laku dan pergaduhan di luar pagar sekolah membabitkan golongan pelajar.
Advertisement

“Kita amat sedih dan terkejut dengan khabar 10 pelajar lelaki ditahan di Merotai Besar selepas disyaki terlibat dalam kes merusuh sehingga empat remaja cedera dan penahanan seorang pelajar perempuan di Banting, Selangor yang dilapor menikam rakan sekolahnya sendiri.
“Sehubungan itu kita harap pihak PDRM mengambil langkah drastik dengan memperkasakan lagi peranan PPS supaya dapat melaksanakan skop penugasan lebih luas dan tidak terhad sekadar di dalam kawasan sekolah sahaja,” katanya.
Nizam berkata demikian selepas merasmikan Festival Komuniti Havoc 2026 - Tayangan Skrin Besar Piala Dunia di Dewan Arena Belia Tawau pada Selasa malam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Syed Ahmad Syed Abas.
Menurutnya cadangan menambah peluasan kuasa kawasan pegawai dilantik itu diharap dapat menutup ‘ruang kosong’ yang ada untuk mengelak golongan pelajar terus cenderung melakukan buli fizikal di luar pengawasan guru termasuk gangsterisme.
“Bagaimanapun langkah ini juga memerlukan kerjasama aktif daripada komuniti setempat khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak mengambil sikap lepas tangan atau menyerahkan perkara sebegini kepada pihak polis semata-mata.
“Apabila masyarakat melihat sesuatu yang luar biasa dalam pergaulan pelajar di luar kawasan sekolah, ambil tindakan segera. Misalnya nasihati mereka atau laporkan terus kepada pihak keselamatan sebelum kejadian buruk berlaku,” katanya.
Menteri itu turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO Belia supaya membangkitkan kesedaran generasi muda secara agresif termasuk menjalin kerjasama dengan pihak-pihak sekolah bagi mempromosikan gaya hidup sihat tanpa terjerumus dengan gejala negatif.
Malah beliau juga percaya sekarang bukanlah masa untuk menuding jari tetapi menuntut semua pihak bertindak secara kolektif serta tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada KPM dan PDRM bagi menangani isu-isu berkaitan disiplin pelajar sama ada di dalam atau luar sekolah.
Terdahulu pada 3 Julai lepas tular video yang memaparkan empat pelajar sekolah dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan remaja di kawasan Merotai Besar yang dilaporkan berlaku di luar sekolah ketika mangsa terlibat dalam perjalanan ke masjid.
Polis yang dihubungi media kemudiannya mengesahkan bahawa pihak mangsa sudahpun tampil membuat laporan polis dan tindakan segera juga diambil menerusi penahanan terhadap 10 pelajar lelaki yang dipercayai terlibat pada hari berikutnya.
Sementara itu pada 7 Julai pula seorang pelajar perempuan yang disyaki suspek utama yang menikam rakan sekolahnya ditahan reman oleh pihak polis dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan seramai 164 PPS dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM sudah dilantik pada April lepas serta ditempatkan di 82 sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Tawau dan Kalabakan yang berkuat-kuasa pada tahun ini membabitkan dua lantikan bagi setiap sekolah.