Kuala Lumpur: Sebanyak 560 lagi pegawai perubatan (MO) akan dilantik secara tetap dan ditempatkan di Sabah bermula Oktober ini bagi menangani isu kekurangan doktor di negeri itu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib (gambar).
Beliau berkata, bagaimanapun, berdasarkan anggaran kadar melapor diri sebanyak 50 peratus, kira-kira 280 pegawai dijangka menerima penempatan di Sabah, sekali gus membantu menutup jurang kekurangan 256 pegawai perubatan yang masih diperlukan di negeri itu.
Advertisement

Di seluruh negara, katanya urusan pengisian 4,500 pegawai perubatan secara lantikan tetap sedang disegerakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam dua fasa.
“Fasa pertama, 328 orang yang ditawarkan lantikan tetap melapor diri bertugas ke fasiliti kesihatan KKM (di seluruh negara) mulai 29 Jun 2026. Daripada jumlah tersebut, 39 pegawai telah ditempatkan di Sabah, namun hanya 20 pegawai telah melapor diri dan 19 pegawai menolak tawaran.
“Fasa dua, 4,172 orang lagi akan ditawarkan pelantikan tetap dan melapor diri pada Oktober 2026. Daripada jumlah tersebut, 560 orang akan ditempatkan di Sabah,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, Khamis.
Beliau menjawab soalan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) yang membangkitkan isu kekurangan doktor dan krisis sumber manusia kesihatan di Sabah.
Hanifah Hajar berkata ketika ini Sabah mempunyai 2,803 jawatan pegawai perubatan, dengan 1,863 jawatan atau 66.5 peratus telah diisi, 366 pegawai atau 13.1 peratus sedang cuti belajar, manakala 570 jawatan atau 20.3 peratus masih kosong.
Beliau berkata bagi menampung kekosongan jawatan dan pegawai yang cuti belajar, sebanyak 680 doktor kontrak telah ditempatkan di negeri itu.
Berdasarkan Petunjuk Kesihatan 2024, katanya lapan negeri termasuk Sabah mempunyai nisbah pegawai perubatan kepada penduduk yang lebih rendah berbanding nisbah nasional.
Bagaimanapun, beliau berkata nisbah pegawai perubatan kepada penduduk di Sabah pada 2023 meningkat 25.1 peratus berbanding 2020.
Bagi meneruskan momentum itu, Hanifah Hajar berkata KKM melaksanakan beberapa inisiatif termasuk mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak atau Labuan menerusi penambahbaikan sistem e-Placement mulai 2025.
Selain itu, beliau berkata KKM turut menetapkan kuota penempatan sebanyak 650 pegawai perubatan lantikan tetap di Sarawak dan 310 di Sabah menerusi sistem e-Placement meliputi 42.7 peratus daripada keseluruhan 2,248 kuota penempatan yang ditetapkan.