MOHD Shafizan Edmund dan Petrova Catherina Justin muncul juara pertandingan Bintang Universe Sudirman yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu lalu sekali gus melayakkan diri mewakili universiti itu ke pentas akhir kebangsaan.
Mohd Shafizan, 23, pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Muzik berkata pertandingan itu merupakan penyertaan keduanya dalam pertandingan nyanyian selepas sebelum ini pernah menyertai pertandingan mencipta lagu puisi.
Advertisement

Beliau mengakui mempunyai masa yang terhad untuk membuat persediaan kerana kurang mengenali lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad memandangkan lebih biasa menyanyikan lagu pop, moden, jazz dan R&B.
“Saya perlu mempelajari gaya nyanyian Sudirman, tetapi pada masa sama cuba menyampaikan lagu mengikut identiti sendiri terutama untuk lagu pertama Hilang Berganti.
Memang sukar untuk menyesuaikan diri namun saya terus berusaha dan bersyukur akhirnya berjaya muncul juara,” katanya kepada Daily Express.
Bagi persembahan kedua Shafizan memilih lagu The Way You Make Me Feel nyanyian Michael Jackson yang disifatkannya sebagai penyanyi kegemarannya sejak kecil.
Beliau turut menggabungkan elemen tarian dalam persembahannya.
“Saya berharap dapat memberikan persembahan yang lebih baik pada pentas akhir nanti dan seterusnya muncul juara,” katanya.
Sementara itu Petrova, 20, pelajar tahun pertama Bioteknologi berkata beliau sebelum ini pernah menyertai pertandingan nyanyian Sugandoi Kaamatan di peringkat daerah dan negeri.
Menurutnya pemilihan lagu dibuat pada saat akhir kerana sibuk menghadapi peperiksaan menyebabkan dirinya memilih lagu yang sudah biasa dinyanyikan iaitu Pelangi Petang nyanyian Sudirman dan Emas nyanyian Nadeera.
“Bagi pentas akhir nanti saya mahu memberikan persembahan yang lebih mantap dan mensasarkan kedudukan tiga terbaik,” katanya.
Dalam pertandingan itu setiap peserta dikehendaki menyampaikan dua buah lagu iaitu sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Sudirman dan sebuah lagi lagu pilihan sendiri.
Turut beraksi pada peringkat akhir ialah Belorine Simah@Jaimis, Muhd Safrie Japirin, Alvintino Victor, Mohd Ameerul Haqim Fadzley, Mohd Azwan Azman, Aamanda Pearl Peter, Dezelynn Sonny dan Jelnisha Ivy Iboi.
Bintang Universe Sudirman diperkenalkan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat baharu dalam bidang nyanyian, di samping memberi ruang kepada peserta mempamerkan potensi, kreativiti dan kebolehan mereka.
Peserta turut berpeluang membuat persembahan di hadapan wakil Universal Music Malaysia, EMI, Faithful, Def Jam Malaysia dan LY Music Factory sekali gus membuka peluang untuk menembusi industri muzik tempatan.
Antara yang hadir ialah wakil Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Sabih Desemin serta Eksekutif Kanan Promosi (Pengaktifan Acara) Universal Music Malaysia Abdul Azim Mazlan.