Kota Kinabalu: Ruang awam seperti Taman Perdana Tanjung Aru yang bernilai RM50 juta bukan sekadar tempat rekreasi malah mencerminkan tahap kesihatan awam, keselamatan serta imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan yang mesra.
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) supaya segera menangani kemudahan yang tidak memuaskan susulan pembukaan semula taman rekreasi popular itu.
Advertisement

Pengerusi YPNM Sabah David Chan berkata pihaknya menerima semakin banyak maklum balas daripada pengunjung mengenai isu penyelenggaraan, termasuk tandas awam yang kotor, laluan pejalan kaki rosak serta stesen air minuman yang tidak berfungsi, yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
“Kami gembira Taman Perdana dibuka semula, tetapi pembukaan semula itu tidak bermakna jika kemudahannya tidak bersih, higienik dan selamat untuk digunakan oleh semua,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kemudahan awam yang bersih, diselenggara dengan baik dan persekitaran yang sihat adalah hak asas penduduk, selain memberikan tanggapan pertama yang baik kepada pelancong.
“Taman ini mewakili Kota Kinabalu dan Sabah kepada dunia. Kita tidak boleh membiarkan penyelenggaraan yang lemah menjejaskan reputasi kita atau membahayakan orang ramai.”
Chan berkata tandas yang tidak bersih menimbulkan kebimbangan dari segi kebersihan, manakala laluan pejalan kaki yang retak atau tidak rata meningkatkan risiko kemalangan, terutama kepada kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata kemudahan yang rosak turut menjejaskan tujuan pembukaan semula taman awam yang sepatutnya memberi manfaat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa DBKK menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap taman berkenaan, termasuk tandas, laluan pejalan kaki, stesen air minuman, sistem pencahayaan, saliran, kolam dan kemudahan rekreasi, serta melaksanakan kerja pembaikan dan naik taraf yang diperlukan tanpa berlengah.
“Sebuah taman tidak sepatutnya dibuka semula sehingga benar-benar bersedia untuk digunakan orang ramai. Kita memerlukan penyelenggaraan berkala, bukan sekadar pembaikan kecemasan selepas aduan mula bertimbun,” katanya.
YPNM turut mencadangkan supaya DBKK memperkenalkan program penyelenggaraan dan pemantauan berjadual yang disokong sistem pelaporan awam yang cekap bagi memastikan taman itu kekal dalam keadaan baik untuk jangka panjang.
Chan turut mengingatkan bahawa menjaga kemudahan awam adalah tanggungjawab bersama.
“Taman Perdana adalah milik kita semua. Kita mesti memastikan ia sentiasa bersih, mengelakkan vandalisme dan menggunakan semua kemudahan dengan penuh tanggungjawab. Hanya dengan cara itu kita dapat memelihara ruang hijau dan sihat ini untuk generasi akan datang.”