PAPAR: Penduduk Kampung Air Pituru, Sabindo, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan kejadian buaya yang berulang kali kelihatan di kawasan kampung berkenaan.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata kemunculan buaya di kawasan itu sering berlaku.
Advertisement

Beliau menasihatkan nelayan serta wanita dan kanak-kanak supaya mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran sungai.
“Terdapat dua atau tiga ekor buaya dengan anggaran panjang antara 10 hingga 15 kaki. Salah seekor daripadanya dianggarkan seberat lebih satu tan dan berukuran kira-kira 15 kaki.
Buaya-buaya ini sering kelihatan di sungai jadi penduduk dinasihatkan menjauhi tebing sungai,” katanya.
Beliau turut menggesa nelayan supaya lebih berhati-hati ketika menaiki bot.
Advertisement

Walaupun setakat ini tiada serangan dilaporkan, penduduk diingatkan agar tidak mengambil mudah kerana buaya merupakan haiwan yang sangat berbahaya.
Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar, yang telah memasang perangkap berumpan bagi menangkap buaya berkenaan.