KINABATANGAN: Mayat seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa serangan buaya ditemukan kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi kejadian di Kampung Batu Puteh, awal pagi Sabtu, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Rusli Mardin, 57, diserang buaya ketika mencuci bot pada kira-kira jam 6.31 petang, Jumaat, sebelum hilang dari pandangan.
Advertisement

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Suriyadi Darwis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 42km dari balai.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, anak mangsa yang menyaksikan kejadian memaklumkan bapanya sedang mencuci bot sebelum tiba-tiba dibaham seekor buaya dan diheret ke dalam air.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air. Namun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.
“Operasi SAR disambung semula pada hari kedua sebelum pihak bomba menerima maklumat bahawa mangsa telah ditemukan oleh orang awam pada jam 4.45 pagi, kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi mangsa diserang.
Advertisement

“Pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mayat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.