TAWAU: Seorang warga emas berusia 66 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun di sebuah kampung di Batu 10, Jalan Apas, pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Wilynton Enchana Watt, berkata suspek warga tempatan itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Advertisement

Beliau berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu selepas dimaklumkan oleh anak angkatnya bahawa mangsa mengalami kesakitan pada tubuh badan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol.
“Mangsa juga merupakan seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang menghidap ADHD (Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wilynton berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan, antaranya sehelai kemeja-T berkolar, sehelai seluar jean dan sebuah topi.
Advertisement

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi mangsa dan keluarganya.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Safiyatun Ahmadun pada Sabtu membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap suspek yang dikemukakan pegawai penyiasat kes, Inspektor Voon Yu Wei. Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut memandangkan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
Terdahulu, suspek yang memakai baju hitam dan seluar jean tiba di pekarangan Mahkamah Tawau kira-kira 8.45 pagi bersama tahanan lain bagi menghadiri prosiding permohonan reman.