Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Isnin diberitahu bahawa konflik biasa antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir dengan ibunya termasuk teguran, leteran atau catatan diari yang bersifat emosional tidak seharusnya dilihat secara berasingan untuk membuat kesimpulan bahawa hubungan mereka merupakan faktor utama atau pencetus dominan di sebalik kematian Zara.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar Dr Noor Aishah Rosli berkata sekiranya terdapat catatan diari yang meluahkan kemarahan atau mengandungi kata-kata kesat terhadap ibunya, kewujudan catatan tersebut sahaja tidak mencukupi untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara mempunyai niat membunuh diri atau mengalami tekanan psikologi yang serius berpunca daripada hubungan dengan ibunya.
Beliau berkata penilaian risiko bunuh diri dalam autopsi psikologi perlu dibuat berdasarkan gabungan pelbagai sumber maklumat yang konsisten, bukannya hanya bergantung kepada satu bukti.
Menurutnya penilaian itu perlu mengambil kira sejarah kesihatan mental, perubahan tingkah laku yang ketara, komunikasi berkaitan kematian, niat membunuh diri, tekanan hidup yang signifikan, faktor perlindungan, hubungan sosial serta bukti sokongan lain.
Berdasarkan penilaiannya Dr Noor Aishah berkata maklumat mengenai hubungan harian Zara dengan ibunya, perbualan telefon antara mereka, pemerhatian saksi, sejarah perkembangan serta keseluruhan interaksi ibu dan anak tidak memberikan sokongan kukuh terhadap hipotesis bahawa hubungan itu menjadi faktor utama atau pencetus dominan untuk Zara mengambil nyawanya sendiri.
Beliau turut menilai hubungan Zara dengan bapanya.
Menurut Dr Noor Aishah walaupun Zara tidak tinggal bersama bapanya dan beliau tidak sentiasa hadir secara fizikal, mereka masih berhubung melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.
Katanya ketiadaan fizikal seorang bapa tidak seharusnya ditafsirkan secara automatik sebagai menyebabkan seseorang anak hilang rasa memiliki atau failed belonging kerana rasa kekitaan bergantung kepada kualiti hubungan interpersonal, bukan semata-mata struktur keluarga.
Dr Noor Aishah berkata maklumat yang diperoleh menunjukkan Zara menerima sokongan emosi yang kukuh daripada ibunya, ahli keluarga lain, penjaganya, jiran serta beberapa orang rakan.
Menurutnya hubungan-hubungan tersebut merupakan faktor perlindungan yang penting dalam penilaian psikologi kes berkenaan.
Prosiding inkues bersambung Selasa.