KOTA BELUD: Seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun ditemukan maut di dalam longkang bersama motosikalnya di Kampung Tambilaung di sini, petang Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian daripada polis pada jam 2.07 petang selepas mangsa ditemukan oleh pekerja pembersihan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi.
Katanya, lapan anggota dikerah ke lokasi kira-kira 25km dari balai, berserta satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati lelaki itu berada di dalam longkang bersama sebuah motosikal.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menaikkan mangsa terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, menambah operasi ditamatkan pada jam 4.56 petang.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain mengesahkan penemuan tersebut.
Advertisement

“Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 12.45 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud sebelum hilang kawalan, terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terjunam ke kawasan berkenaan,” katanya, Jumaat.
Beliau berkata, mayat mangsa berada dalam keadaan reput dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chris Isaac Anak Rechi, di talian 088-976600 sambungan 225.