Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 31 tahun didenda RM1,200 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di tempat awam.
Melia Abd Razi membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas kesalahan itu yang dilakukan di sebuah kedai di Donggongon Point, Penampang kira-kira jam 1 tengah hari pada 29 Jun lalu.
Advertisement

Mahkamah dimaklumkan hasil maklumat awam, sepasukan polis menjalankan Op Dadu di premis berkenaan.
Pemeriksaan mendapati seorang wanita yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Melia sedang menjalankan transaksi tambah nilai (top-up) berkaitan perjudian dalam talian.
Beberapa barangan yang dipercayai berkaitan aktiviti berkenaan turut dirampas dalam operasi itu.
Melia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu seorang lelaki berusia 45 tahun didenda RM25 atau penjara sehari selepas mengaku bersalah berkelakuan mengugut sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Azwan Ahmat membuat pengakuan bersalah di hadapan mahkamah sama atas kesalahan yang dilakukan di Kampung Sembulan Tengah kira-kira jam 8 malam pada 8 Julai lalu.
Mahkamah diberitahu pada hari kejadian Azwan menggunakan kapak untuk memukul dinding rumah jirannya di perkampungan air sehingga menyebabkan lubang dan kerosakan pada dinding berkenaan.
Dia turut mengakui kepada pengadu bahawa tindakannya itu dilakukan sebagai satu amaran.
Pendakwaan memaklumkan perbuatan Azwan berunsur ugutan dan telah mengganggu ketenteraman awam.
Azwan didakwa mengikut Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Sabah yang memperuntukkan denda RM25 jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan Muhammad Munir Khan.