TAWAU: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menjalani latihan industri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau di Jalan Tawau-Bombalai berhampiran Kampung Haji Matahir, di sini, pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, Mazlan Tuwo, 24, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton.
Advertisement

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Wilynton Enchana Watt berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 8.30 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Merotai ke PPD Tawau untuk menjalani latihan industri, manakala 4WD dipandu seorang penjawat awam wanita berusia 32 tahun dari arah Kampung Sungai Imam menuju ke Klinik Kesihatan Felda Umas.
"Siasatan awal mendapati pemandu 4WD dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa," katanya.
Wilynton berkata akibat pelanggaran itu, 4WD terbabas ke bahu jalan sebelum terjunam ke dalam parit dan terbalik, manakala mangsa bersama motosikalnya tercampak kira-kira lima meter ke bahu jalan menghala ke Bandar Tawau.
Katanya, mangsa ditemukan terbaring berhampiran motosikalnya di kawasan semak sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, pemandu 4WD mengalami kecederaan parah dengan patah pada bahu dan tangan kanan serta dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan.
Wilynton berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi had laju dan memberi tumpuan penuh ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.