Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri diharap dapat memperkukuh pelaburan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pantai Manis menerusi peruntukan tambahan lebih besar bagi memastikan keperluan rakyat di kawasan berkenaan dapat dipenuhi secara menyeluruh.
Adunnya Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra berkata pembangunan infrastruktur awam, jaringan jalan raya, sistem saliran, kemudahan ekonomi rakyat serta sektor pelancongan perlu diberi perhatian sebagai pemangkin pertumbuhan kawasan berkenaan.
Menurutnya peruntukan tambahan Kerajaan Negeri berjumlah RM1.612 bilion yang dibentangkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) adalah peluang penting untuk memastikan projek fizikal dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Peruntukan ini bukan sekadar angka di atas kertas tetapi menjadi talian hayat kepada kesinambungan projek pembangunan, penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah termasuk kawasan Pantai Manis,” katanya ketika membahaskan RUU Perbekalan Tambahan (2026) di Dun Sabah baru-baru ini.
Pengiran Saifuddin berkata beberapa projek pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini memberi manfaat besar kepada penduduk Papar antaranya kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan Masjid Daerah Papar bernilai kira-kira RM2 juta, projek tebatan hakisan pantai di Kampung Kuala serta pembinaan jeti nelayan baharu di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya masih banyak keperluan pembangunan yang perlu diberi perhatian khususnya berkaitan penyelenggaraan jalan kampung rosak yang memerlukan peruntukan lebih besar.
Advertisement

Menurutnya isu jalan raya antara aduan utama penduduk terutama di kawasan Kampung Buang Sayang yang berdepan masalah jalan berlubang, kerosakan permukaan serta laluan yang menjadi sukar dilalui khususnya ketika musim hujan.
“Dun Pantai Manis memerlukan kemasukan dana yang lebih besar bagi menaik taraf keseluruhan jalan tidak berturap, membaiki jalan rosak serta memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala manakala dari aspek pengurusan banjir tindakan lebih menyeluruh perlu bagi memperbaiki sistem saliran dan tebatan banjir khususnya di kawasan Benoni dan Takis yang sering terjejas akibat banjir kilat,” katanya.
Sehubungan itu katanya pembangunan baharu perlu diselaraskan dengan pelan induk tebatan banjir supaya tidak memberi kesan kepada kawasan penempatan sedia ada.
Dala pada itu beliau turut menarik perhatian terhadap masalah hakisan tebing Sungai Padang yang disifatkan sebagai ancaman serius kepada keselamatan penduduk dan memerlukan tindakan segera melalui pembinaan benteng penahan konkrit di kawasan kritikal.
“Manakala bagi merancakkan ekonomi setempat pembangunan kemudahan untuk peniaga kecil, nelayan dan usahawan perlu diperkasakan termasuk cadangan pembinaan empat dewan bertutup di lokasi tamu strategik dalam Dun Pantai Manis.
“Kemudahan ini penting bagi menggantikan sistem khemah sedia ada selain menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa, lengkap dengan kemudahan asas seperti saliran, elektrik, tandas awam dan pengurusan sisa pepejal,” ujarnya.
Pada masa sama beliau mencadangkan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti melalui projek riverfront Sungai Pekan Papar termasuk laluan pejalan kaki, ruang niaga tersusun dan pencahayaan hiasan bagi menarik pelancong domestik.
Katanya ikon warisan seperti Jambatan Kuning Papar juga berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan dengan penambahbaikan sistem pencahayaan bagi meningkatkan nilai estetika kawasan berkenaan.
“Justeru saya menyokong penuh RUU Perbekalan Tambahan (2026) ini yang sudah tentu dapat memberi manfaat kepada usaha berterusan Kerajaan negeri untuk memastikan setiap pelaksanaan pembangunan di Sabah tercapai sekaligus memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.