PAPAR: Kerjasama antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan pengamal media perlu terus diperkukuh dalam menyampaikan hala tuju SMJ 2.0 kepada rakyat.
Ketua Pegawai Penyelaras SSMJ Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai berkata hubungan erat antara SSMJ dan pengamal media penting dalam membantu menyebarluaskan mengenai agenda pembangunan negeri.
“Hari ini kita mengadakan program bersama dengan media Sabah dari dalam pelbagai agensi di Sabah supaya hubungan di antara SSMJ dengan pengamal-pengamal media di negeri Sabah ini dapat diperkukuhkan lagi.
“Dalam keadaan kemesraan itu, kita boleh menyebarkan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media kerana membantu kami dalam menyampaikan hasrat kerajaan untuk memajukan negeri Sabah melalui pelan induk pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Harapan saya dalam Hala Tuju SMJ 2.0, para media akan terus bersama-sama kami seperti yang ditunjukkan pada hari ini untuk kita menyebarluaskan hasrat kerajaan untuk membangunkan dan menjadikan negeri Sabah satu negeri yang makmur, sejahtera, aman dan damai,” katanya semasa ditemui media selepas Program Team Building SSMJ Bersama Rakan Media Sabah pada Sabtu.
Advertisement

Menurut beliau pengamal media perlu bersama-sama membina naratif positif terhadap pembangunan negeri dengan mengetengahkan kemajuan Sabah secara seimbang.
“Apabila media mengetengahkan sesuatu isu daripada rakyat, kami kena fikir bagaimana untuk menyelesaikannya.
“Tugas kami di SSMJ adalah mengimpikan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera dan dalam mencapai kesejahteraan itu, pelbagai onak dan duri akan kita lalui dan semuanya kita lakarkan dalam SMJ 2.0.
“Jadi yang saya minta media bersama-sama kami untuk memahami hasrat kerajaan di hadapan untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Rosmadi menyatakan SSMJ juga akan mengadakan sesi libat urus dan taklimat secara bersiri bersama pengamal media bagi memberi pemahaman lebih menyeluruh mengenai SMJ 2.0.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan media memahami kandungan serta aspirasi SMJ 2.0 sebelum menyampaikannya kepada rakyat.
Seramai 90 pengamal media dan warga SSMJ mengikuti program tersebut yang melibatkan agensi media sabah antaranya Jabatan Penyiaran Sabah (RTM), Sinar Harian, Awani, TVS, Utusan Borneo, The Malaysian Press, Sabah Media dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi SSMJ Datuk Ramlee Kariah.