ADUN Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin mencadangkan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Mheans) diperkasakan sebagai badan pemikir strategik kerajaan negeri dalam hal ehwal anak negeri, dan bukan sekadar berperanan memberikan pandangan apabila diminta.
Beliau berkata pindaan kepada Seksyen 4 yang memperluaskan fungsi MHEANS merangkumi pendidikan adat dan undang-undang adat adalah langkah yang dialu-alukan.
“Bagaimanapun, saya berpandangan peranan Mheans perlu diperkukuh lagi supaya ia menjadi badan pemikir strategik kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026.
Donald berkata Mheans perlu sentiasa menjalankan penyelidikan, mengemukakan cadangan dasar dan menerajui reformasi institusi. Menurutnya, fungsi majlis itu perlu merangkumi penggubalan dasar jangka panjang bagi pembangunan masyarakat anak negeri, mengkaji semula undang-undang yang memberi kesan kepada masyarakat anak negeri serta menerajui pembaharuan Mahkamah Anak Negeri.
Mheans tidak seharusnya hanya memberikan pandangan apabila diminta, sebaliknya perlu sentiasa menjalankan penyelidikan, mengemukakan cadangan dasar dan menerajui reformasi institusi,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah pula wajar terus berperanan sebagai agensi pelaksana yang menguruskan aspek pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.
Advertisement

“Ringkasnya, Mheans menggubal dasar dan memberikan nasihat strategik, manakala Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah melaksanakan dasar secara profesional,” katanya.
Donald turut mencadangkan keanggotaan Mheans diperluaskan melebihi yang diperuntukkan di bawah Fasal 5 rang undang-undang itu dengan melibatkan wakil pelbagai komuniti anak negeri, pakar undang-undang adat, ahli akademik serta wakil belia.
Katanya, gabungan kepakaran itu akan menjadikan Mheans lebih dinamik, berwibawa dan berupaya menghasilkan penyelidikan serta dasar yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat anak negeri. Beliau turut mencadangkan supaya Mheans menyediakan pelan induk jangka panjang dikenali sebagai Pelan Tindakan Transformasi Hal Ehwal Anak Negeri Sabah 2035. Institusi anak negeri merupakan warisan unik Sabah yang perlu diperkukuh, bukan sekadar dipelihara.
“Saya yakin dengan memperkasakan Mheans sebagai badan pemikir strategik serta memperluaskan keanggotaannya berasaskan kepakaran dan keterangkuman, kita mampu mewujudkan sebuah institusi yang benar-benar menerajui penyelidikan dasar dan reformasi hal ehwal anak negeri di Sabah,” katanya.