ADUN Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir menggesa usaha mendokumentasikan pengetahuan adat Sabah dilaksanakan secara sistematik bagi mengelakkan amalan yang diwarisi secara lisan lenyap akibat perubahan sosial yang pesat.
Beliau berkata adat tidak boleh sekadar dipelihara dalam rekod sejarah atau diamalkan oleh generasi terdahulu, sebaliknya perlu difahami oleh generasi muda.
“Mereka perlu memahami bukan sahaja bentuk sesuatu amalan, tetapi juga nilai, tujuan dan prinsip yang mendasarinya.
“Jika usaha pendidikan dan pendokumentasian tidak dilaksanakan secara tersusun, kita berisiko kehilangan khazanah ilmu yang diwarisi turun-temurun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026.
Beliau berkata pindaan bagi memperkukuh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Mheans) wajar disokong supaya majlis itu terus relevan dan berkesan dalam mengurus hal ehwal adat anak negeri serta Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah.
Saifuddin turut mengalu-alukan pengenalan takrif baharu dalam rang undang-undang itu bagi Ketua Hakim Mahkamah Anak Negeri, Pegawai Adat dan undang-undang adat anak negeri.
Advertisement

Katanya, penjelasan istilah tersebut akan mewujudkan kefahaman yang lebih jelas dalam kalangan pihak yang melaksanakan undang-undang mengenai kedudukan, fungsi dan bidang kuasa setiap institusi atau pegawai yang berkaitan.