BEAUFORT: Polis menahan seorang lelaki berhubung kes ugutan jenayah di Kampung Kilugus, Menumbok.
Ketua Polis Daerah Beaufort Superintendan Champin Piuh berkata suspek dipercayai mengugut ahli keluarganya menggunakan objek berbahaya sehingga menyebabkan mereka bimbang akan keselamatan diri.
“Anggota dari Balai Polis Menumbok menahan suspek susulan satu laporan polis dibuat. Permohonan reman akan dikemukakan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Champin berkata penyalahgunaan dadah, khususnya syabu, boleh menyebabkan seseorang bertindak agresif dan hilang pertimbangan sekali gus mendorong kepada perbuatan mengugut atau mencederakan orang lain termasuk ahli keluarga.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesan tingkah laku sedemikian.
Dalam kes berasingan di Kampung Klias Kecil, polis turut menahan seorang lelaki yang didapati positif syabu.
Advertisement

Champin berkata polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti tersebut kepada pihak berkuasa.