RANAU: Seramai 46 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta dua Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Karanaan menerima surat pelantikan pada Sabtu.
Pendekatan berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sabah memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun berkata surat pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan rasmi malah mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap pemimpin masyarakat untuk memimpin, menyumbang dan menjadi pemangkin pembangunan di peringkat kampung.
“JKKK berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat bagi memastikan setiap dasar, program dan bantuan kerajaan disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
“Oleh itu saya menggesa semua Ketua Kampung dan ahli JKKK melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, keikhlasan dan rasa tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Surat Pelantikan di Dewan Kampung Mininsalu.
Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politiknya Johari Suhaimin.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pentadbiran di peringkat akar umbi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya sentiasa mendekati penduduk, mendengar permasalahan mereka dan memahami keperluan setempat agar setiap isu dapat ditangani dengan berkesan.
“Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan setiap usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu dua Ketua Kampung yang menerima pelantikan ialah Mohd Linggas Rasmin bagi Kampung Purakogis dan Radzie Aziri Sanin bagi Kampung Piasau.
Turut hadir Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan Suhaimi Manjun dan Ketua Daerah Ranau Muhasip Roman.