Kota Kinabalu: Sebanyak 38 kesatuan sekerja di Sabah menerima geran berjumlah RM310,000 di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 bagi memperkukuh tadbir urus organisasi, pembangunan kepimpinan dan peningkatan kemahiran ahli kesatuan sejajar dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Majlis penyampaian geran itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata geran berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, produktif dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan ekonomi Sabah yang semakin berkembang.
Beliau berkata usaha memperkukuh modal insan menerusi latihan kemahiran, peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat penting bagi menyediakan rakyat Sabah untuk peluang pekerjaan bernilai tinggi yang diwujudkan hasil pelaburan baharu dan pertumbuhan industri strategik.
“Kerajaan negeri kekal komited memastikan rakyat Sabah memiliki kemahiran untuk mengisi peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan menerusi pelaburan baharu serta pengembangan sektor ekonomi strategik di samping melahirkan lebih ramai jurutera, ahli teknologi, juruteknik mahir, saintis data, pakar kecerdasan buatan (AI) dan pemimpin industri,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata landskap pekerjaan yang berkembang pesat menuntut kesatuan sekerja menerima pendigitalan, menyokong inisiatif peningkatan kemahiran tenaga kerja serta mematuhi piawaian antarabangsa bagi memastikan ia terus relevan.
Beliau berkata agenda pembangunan modal insan menjadi teras kepada SMJ 2.0 yang meletakkan TVET sebagai peneraju pembangunan tenaga kerja bagi sektor utama termasuk tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan termaju serta teknologi hijau.
“TVET bukan lagi laluan alternatif. Ia kini menjadi saluran penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh industri masa depan,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Madani memperuntukkan RM6.1 juta bagi pelaksanaan PHEKS di seluruh negara tahun ini, dengan RM310,000 disalurkan kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.
Beliau menggesa semua penerima memanfaatkan geran itu secara bertanggungjawab bagi memperkukuh pengurusan organisasi, meningkatkan kompetensi ahli serta melaksanakan program yang memberi manfaat jangka panjang kepada pekerja.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi, automasi dan kecerdasan buatan sedang mengubah dunia pekerjaan sekali gus menjadikan pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran semakin penting kepada tenaga kerja.
Sementara itu Hajiji berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan penting kesatuan sekerja sebagai jambatan yang menghubungkan aspirasi pekerja, majikan dan kerajaan selain menjadi antara pemangkin kepada hubungan perusahaan yang stabil serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Katanya kerjasama sedemikian akan membantu meningkatkan produktiviti, mengukuhkan keyakinan pelabur dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.
Geran PHEKS 2026 akan membiayai pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, pembangunan kepimpinan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan ahli kesatuan sekerja.