Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 52 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memiliki harta curi.
Irwanzi Halok membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memiliki sebuah beg galas Adidas berwarna hitam dan satu set kunci milik Khalid Haik Al Abdul yang merupakan barang curi.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11 malam pada 16 April di sebuah bilik di tingkat empat, Lorong Sentosa, Kampung Air.
Irwanzi didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes pada kira-kira jam 2 pagi, 15 April pengadu mendapati beberapa barangan berharganya termasuk sebuah beg galas hilang daripada kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah hotel di Jalan Pasar Baru, Kampung Air, menyebabkan kerugian kira-kira RM3,000.
Bertindak atas maklumat polis menahan Irwanzi di Kampung Air pada jam 11 malam, 16 April.
Barangan yang dirampas kemudiannya dikenal pasti sebagai milik pengadu yang dilaporkan hilang.
Mahkamah memerintahkan Irwanzi menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 35 tahun didenda RM1,600 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah berjudi di tempat awam.
Noor Farhanah Saiman mengaku melakukan kesalahan itu pada jam 12.50 tengah hari, 20 Jun lalu di laluan pejalan kaki Blok E, Manggatal Plaza Fasa 2.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa polis menyerbu lokasi berkenaan dan merampas beberapa barangan yang digunakan untuk kegiatan perjudian dalam talian.
Farhanah bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.
Hasil analisis terhadap barang rampasan mengesahkan ia digunakan bagi aktiviti perjudian dalam talian.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.
Mahkamah turut memerintahkan wang tunai RM20 yang dirampas daripada tertuduh dilucut hak kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.