Kota Kinabalu: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah tapak pembinaan di belakang premis jualan kenderaan di Iramanis di sini, awal pagi Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.
Siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun, keluar bersama suspek pada waktu pagi untuk minum alkohol di kawasan Penampang sebelum mereka pulang ke kediaman kongsi sekitar jam 11 malam.
Katanya, siasatan turut mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek akibat salah faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk. Mangsa dipercayai memukul suspek menggunakan kayu sebelum suspek bertindak menikamnya empat kali dengan pisau sayur.
Suspek kemudian dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian. Mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah lurang berhampiran lokasi kejadian. Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.