Kota Kinabalu: Ekonomi Sabah mencatat prestasi lebih kukuh pada 2025 apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 5.1 peratus, meningkat daripada 1.2 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan pada Khamis, DOSM berkata KDNK Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion daripada RM84.5 bilion pada 2024, iaitu pertambahan sebanyak RM4.3 bilion.
Katanya, prestasi Sabah adalah selaras dengan pengembangan ekonomi Malaysia secara keseluruhan yang berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan sama seperti tahun sebelumnya.
“Bagi sektor perkhidmatan serta perlombongan dan pengkuarian kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Sabah, merangkumi 74.1 peratus secara keseluruhan, diikuti sektor pertanian sebanyak 13.9 peratus.
“Manakala sektor pembuatan dan pembinaan masing-masing menyumbang 7.2 peratus dan 4.4 peratus,” menurut kenyataan itu.
DOSM berkata sektor perkhidmatan yang merupakan pemacu utama ekonomi negeri mencatat pertumbuhan 4.5 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2024, disokong subsektor berkaitan pelancongan termasuk perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, selain perkhidmatan kerajaan.
Sektor perlombongan dan pengkuarian, penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi Sabah, kembali pulih dengan pertumbuhan 4.9 peratus selepas penyusutan 4.9 peratus pada 2024, didorong peningkatan pengeluaran minyak mentah dan kondensat serta gas asli.
Sektor pertanian kembali mencatat pertumbuhan 0.9 peratus berbanding penguncupan 3.2 peratus tahun sebelumnya, disokong subsektor tanaman yang lebih baik khususnya kelapa sawit.
Sektor pembuatan turut mengukuh kepada 5.0 peratus daripada 1.2 peratus pada 2024, disokong peningkatan pengeluaran minyak dan lemak daripada sumber tumbuhan serta haiwan, selain aktiviti pemprosesan makanan.
Sementara itu, sektor pembinaan berkembang 28.3 peratus berbanding 21.5 peratus pada 2024, disokong pertumbuhan menyeluruh dalam semua subsektor khususnya kerja kejuruteraan awam.
Dari segi KDNK per kapita, Sabah mencatat peningkatan sebanyak RM550 kepada RM31,125 berbanding RM30,575 pada tahun sebelumnya, namun masih jauh lebih rendah berbanding paras nasional iaitu RM59,167.
Secara keseluruhan, Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia, tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi negeri ketujuh terbesar di negara ini.