PENAMPANG: Seorang wanita berusia 42 tahun ditemui meninggal dunia di apartmennya di Jalan Penampang Lama pada malam Selasa (30 Jun), dengan polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10 malam.
Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai pendandan rambut tinggal bersendirian di apartmen berkenaan.
“Siasatan awal mendapati majikan mangsa pergi ke kediamannya selepas gagal menghubunginya sejak pagi 30 Jun.
“Menurut majikan, mangsa mengambil cuti pada 29 Jun dan sepatutnya kembali bekerja pada 30 Jun,” katanya, menambah pintu apartmen mangsa didapati berkunci dan tiada sebarang respons dari dalam.
Polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian memecahkan pintu apartmen sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
Sammy berkata Pasukan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau khianat yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sammy turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan kejadian sebagai menghormati perasaan keluarga serta waris mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-4492215 atau menghubungi IPD Penampang di talian 088-712222.