Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan meluluskan projek menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM24 juta, manakala sistem penyaman udara baharu bernilai RM1 juta dijadual dipasang bermula suku pertama 2027 bagi mengatasi aduan berlarutan mengenai tahap keselesaan terminal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke
(gambar), dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus melaksanakan penyelenggaraan berkala terhadap sistem penyaman udara sedia ada bagi memastikan ia beroperasi pada tahap optimum.
Bagaimanapun, katanya, sebagai penyelesaian jangka panjang, MAHB akan menggantikan sistem sedia ada dengan sistem baharu yang dianggarkan menelan kos RM1 juta, dengan kerja pemasangan dijangka bermula pada suku pertama 2027.
Mengenai projek naik taraf lapangan terbang itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan telah meluluskan cadangan MAHB untuk melaksanakan projek bernilai RM24 juta menggunakan peruntukan daripada Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF) yang ditadbir kementerian.
Katanya, MAHB kini sedang memuktamadkan skop projek yang merangkumi penambahbaikan kemudahan pengangkutan awam melalui penyediaan kawasan parkir khas bagi bas dan teksi serta laluan pejalan kaki yang menghubungkan ke bangunan terminal.
Projek itu turut melibatkan pemasangan dua jambatan udara penumpang, naik taraf sistem penghantar bagasi serta pemindahan mesin pengimbas sinar-X bagi melaksanakan konsep pemeriksaan bagasi selepas daftar masuk.
Selain itu, kaunter pemeriksaan imigresen bagi balai pelepasan dan ketibaan akan dinaik taraf bagi membolehkan pemasangan kemudahan NIISe E-Gate dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri.
Ruang balai berlepas juga akan diperluaskan dan diubah suai bagi menyediakan kawasan menunggu yang lebih luas serta ruang komersial tambahan untuk kemudahan penumpang.
Menurut kementerian, kerja fizikal projek dijangka bermula pada suku keempat 2026 sementara keseluruhan projek dijadual siap menjelang penghujung 2027.