Wed, 1 Jul 2026
Headlines:
Sabah bantu letakkan Malaysia dalam kelompok 17 teratas negara paling kaya biodiversiti
Published on: Wednesday, July 01, 2026
Published on: Wed, Jul 01, 2026
By: Sherell Jeffrey
Text Size:
Text:
Sabah bantu letakkan Malaysia dalam kelompok 17 teratas negara paling kaya biodiversiti
AHEMAD (tengah) merasmikan majlis bersama Ken Kartina (kiri) dan Hanafiah (kanan).
Kota Kinabalu: Kekayaan biodiversiti Sabah membantu meletakkan Malaysia dalam kelompok 17 negara megabiodiversiti dunia, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Ahemad Sade.

“Kekayaan biodiversiti kita memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai antara 17 negara paling kaya biodiversiti di dunia, yang dikenali sebagai negara megabiodiversiti,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri di Hotel Hilton, di sini, pada Selasa.

Advertisement
Beliau berkata usaha pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari biodiversiti yang dilaksanakan di peringkat tempatan di Sabah turut mendapat pengiktirafan di peringkat global.

“Pencapaian ini membuktikan Sabah memenuhi piawaian antarabangsa yang tinggi dalam aspek tadbir urus, pengurusan kawasan perlindungan dan keberkesanan pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Beliau berkata kekayaan flora, fauna dan ekosistem unik Sabah bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri ini, malah merupakan aset strategik yang bernilai tinggi dari segi ekonomi, saintifik dan sosial, selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Acting locally for global impact”.

Menurutnya, biodiversiti Sabah menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem penting termasuk bekalan air bersih, sumber makanan, kawal selia iklim, perlindungan daripada bencana alam serta sumber pendapatan kepada masyarakat peribumi dan komuniti setempat.

Advertisement
Beliau berkata Sabah memiliki pelbagai tapak biodiversiti dan pembangunan lestari bertaraf dunia, termasuk Unesco Triple Crown yang merangkumi Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Geopark Global Unesco Kinabalu.

Turut diiktiraf ialah Tapak Ramsar Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama, Tapak Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu, Rizab Biosfera Kinabatangan, Kawasan Pemuliharaan Marin Kepulauan Sugud dan Hutan Simpan Pin Supu yang tersenarai dalam Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).

Advertisement
Selain itu, beliau berkata kawasan pemuliharaan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon membentuk hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang terus menarik penyelidik tempatan dan antarabangsa.

Ahemad berkata Strategi Biodiversiti Sabah 2024-2034 membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pemuliharaan biodiversiti dan menjadi pelan hala tuju strategik Sabah bagi dekad akan datang.

“Strategi kami yang berasaskan sains dan bukti melibatkan penyertaan kolaboratif masyarakat, membimbing semua pihak berkepentingan melaksanakan tindakan pemuliharaan yang berkesan serta menyokong aspirasi pembangunan mampan Sabah di bawah Sabah Maju Jaya 2.0, di samping menyumbang kepada agenda biodiversiti global,” katanya.

Beliau berkata ia termasuk Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal, Konvensyen Kepelbagaian Biologi dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Katanya, perkara itu merupakan manifestasi sebenar tema sambutan tahun ini yang menekankan tindakan di Sabah mampu memberi impak di peringkat global.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) atas pembangunan Sistem Permohonan Lesen Akses dan Eksport Biodiversiti Sabah serta Sistem Maklumat Pengetahuan Tradisional Sabah.

“Kedua-dua sistem ini bukan sekadar platform digital, tetapi satu langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus biodiversiti yang mudah diakses, moden, telus dan dipacu data,” katanya.

Ahemad turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Sabah 2025 bagi kategori penyelidik muda berpotensi, penyelidik antarabangsa, penyelidik tempatan serta Anugerah Khas Juri.

Beliau berkata anugerah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri menjadikan penyelidikan sebagai pemacu utama pemuliharaan biodiversiti, selain mengiktiraf sumbangan penyelidik tempatan dan antarabangsa dalam memperkukuh asas saintifik bagi penggubalan dasar, perlindungan spesies dan pengurusan sumber semula jadi secara lestari.

“Tema tahun ini mengingatkan kita bahawa penyelesaian kepada cabaran biodiversiti global mesti bermula dengan tindakan di peringkat tempatan, manakala kejayaan melindungi biodiversiti dunia bergantung kepada tindakan kerajaan, komuniti, sektor swasta, institusi penyelidikan dan setiap individu.

“Tema ini amat bertepatan memandangkan Sabah merupakan antara pusat biodiversiti paling penting di dunia,” katanya sambil menegaskan bahawa apa yang dipelihara di Sabah hari ini akan mempengaruhi keseimbangan ekosistem global pada masa kini dan akan datang.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua lapisan masyarakat memainkan peranan dalam memelihara khazanah biodiversiti Sabah, mengurus dan memanfaatkan sumber semula jadi secara lestari serta memastikan agenda pembangunan bergerak seiring dengan keperluan pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari biodiversiti.

“Semoga sambutan ini menjadi pemangkin kepada tindakan kolektif yang lebih agresif dan berkesan pada masa hadapan,” katanya sambil menegaskan masa depan biodiversiti Sabah bergantung kepada keputusan dan tindakan yang diambil hari ini.

Turut hadir Pengarah SaBC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Ken Kartina Khamis, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Md Hanafiah Md Kassim.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here