Wed, 8 Jul 2026
Headlines:
Karya mural tempatan berpotensi diketengah ke peringkat antarabangsa
Published on: Sunday, July 05, 2026
Published on: Sun, Jul 05, 2026
By: Lagatah Toyos
Text Size:
Text:
Karya mural tempatan berpotensi diketengah ke peringkat antarabangsa
ANDI Syafie bergambar di hadapan lukisan mural yang dihasilkannya di Jalan Haji Karim bersama pelukis Yaul Acap menerusi Projek Lukisan Mural Street Art dengan kerjasama MPT dan Nutriplus Sabah.
PELUKIS seni mural asal Tawau yang sehingga kini berjaya menghasilkan hampir 500 lukisan di seluruh negara, Andi Syafie Andi Parentah, 30, yakin karya tempatan berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.

Katanya, pengalamannya dijemput menjayakan projek seni mural di negara Brunei sebelum ini membuktikan karya tempatan mempunyai tempat tersendiri, malah bidang ini semakin mendapat perhatian masyarakat dan sektor korporat hasil usaha pelbagai pihak yang memperkenalkannya sebagai medium seni awam.

Advertisement
Menurutnya, satu ketika dahulu mural hanya banyak dihasilkan di sekolah-sekolah, namun kini berkembang menjadi elemen penting dalam pembangunan bandar, sektor pelancongan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Situasi semasa itu disifatkannya sebagai satu kejayaan membanggakan apabila seni mural berjaya keluar daripada kepompong sekolah semata-mata.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
“Saya bersama beberapa rakan artis pernah menggerakkan usaha untuk mempopularkan mural di Malaysia. Akhirnya perlahan-lahan kita dapat melihat perubahan apabila semakin banyak pihak mula menghargai mural sebagai satu bentuk seni yang boleh memberi nilai tambah kepada sesuatu kawasan.

“Sekarang pula banyak syarikat besar dan jenama korporat menggunakan mural untuk menyampaikan mesej, mencantikkan kawasan awam dan menarik perhatian masyarakat,” katanya lagi.

Advertisement
Cabaran penerimaan masyarakat terhadap konsep lukisan

Advertisement
Ditanya mengenai cabaran terbesar dalam menghasilkan mural, Andi Syafie yang sudah menghasilkan empat lukisan mural di kawasan perbandaran Tawau, mengakui cabaran pelukis bukanlah aspek teknikal atau penghasilan karya, sebaliknya penerimaan masyarakat terhadap konsep dan mesej yang ingin disampaikan.

“Yang paling kami takut ialah penerimaan masyarakat terhadap sesebuah karya tersebut. Adakah mereka akan menerima jika kita melukis monyet ataupun figura manusia… Jadi kita perlu mempertimbangkan sama ada sesuatu tema, figura atau elemen yang digunakan sesuai dengan budaya dan kehendak masyarakat setempat.

“Paling penting juga adalah kerjasama pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan ruang (dinding) dan lokasi untuk mural yang dihasilkan,” katanya lagi.

Melihat kepada kerjasama cukup baik daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam seni mural, Andi Syafie mencadangkan agar Tawau dibangunkan sebagai sebuah bandar seni atau hab seni jalanan di Sabah.

Menurutnya, daerah ini  berpotensi untuk menjadi bandar seni jalanan kerana jika lebih banyak mural dan karya seni awam dihasilkan, lukisan itu bukan sahaja mencantikkan bandar tetapi turut menjadi tarikan pelancong dan platform kepada artis tempatan untuk berkarya.

Katanya, penerimaan positif masyarakat terhadap seni mural boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan kreatif, sekaligus menjadikan sesuatu kawasan lebih menarik untuk dikunjungi.

Minat seni mural sejak di bangku sekolah

Berkongsi penglibatan awalnya dalam bidang ini, Andi Syafie berkata minatnya terhadap seni mural sudah bermula sejak zaman persekolahan lagi apabila dia membantu menghasilkan pelbagai karya seni di sekolahnya.

Manakala, sewaktu masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di bidang Teknologi Seni Visual, dia terlibat menghasilkan mural di beberapa lokasi di Sabah, termasuk di Kudat sebelum secara serius menceburi bidang ini selepas tamat pengajian dan mengembangkan kerjaya di Kuala Lumpur.

Katanya, penghijrahannya ke ibu negara membuka lebih banyak peluang untuk mendalami bidang seni mural serta menimba pengalaman bersama penggiat seni yang lebih berpengalaman luas.

“Saya pernah berkhidmat di Balai Seni Lukis Negara sebelum meneruskan kerjaya sebagai pelukis secara sepenuh masa dan kini sudah menghasilkan 500 mural di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar, selain di Sabah iaitu di Tawau dan Kudat,” tambahnya.

LUKISAN mural di Pasar Tanjung Tawau yang turut dihasilkan Andi Syafie - yang memaparkan ibunya. 

Dalam pada itu, Andi Syafie mendedahkan bahawa antara projek paling besar yang pernah dihasilkannya ialah mural bertemakan kehidupan pesawah di Tanjung Karang, Selangor, yang terkenal sebagai kawasan penanaman padi.

Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan bersama enam artis dan berjaya disiapkan dalam tempoh empat hingga lima hari, sekaligus memberi pengalaman yang sangat berharga kerana melibatkan skala besar dan memerlukan kerjasama pasukan yang baik.

Mengenai karya yang paling tidak dapat dilupakannya sepanjang bergelar pelukis mural sejak 2019, Andi Syafie berkata pengalaman menghasilkan mural di Kuala Selangor merupakan antara detik paling bermakna dalam kerjayanya.

Katanya, projek tersebut melibatkan usaha mengubah sebuah lorong biasa menjadi kawasan tarikan pelancongan baharu yang direka sepenuhnya berdasarkan ideanya sendiri, dan akhirnya menjadi penyuntik semangatnya terus berkarya.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak pernah menganggap dirinya sudah berpuas hati walaupun berjaya menghasilkan ratusan lukisan kerana percaya seseorang artis perlu sentiasa memperbaiki diri dan mencari ruang untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

“Kami tidak dididik untuk cepat berpuas hati dengan hasil yang ada. Bagi saya, kepuasan sebenar adalah apabila melihat masyarakat menghargai dan menerima karya yang dihasilkan. Itulah penghargaan paling besar buat seorang artis seni lukis,” katanya lagi.

Keluarga sokong penuh minat dan kerjayanya

Berkenaan penerimaan keluarga terhadap kerjayanya, Andi Syafie amat bersyukur kerana keluarganya langsung tidak menghalang minatnya walaupun terpaksa merantau jauh daripada kampung halaman.

“Keluarga tiada halangan langsung. Jadi apabila saya beritahu hendak pergi ke sesuatu tempat, mereka tidak menghalang yang penting boleh bertahan (survive) di tempat orang,” katanya.

Menurutnya, selain menghasilkan karya seni, dia turut mengusahakan syarikatnya sendiri yang beroperasi di Kuala Lumpur bagi menguruskan projek mural, seni visual dan kerja-kerja kreatif yang lain.

Dia mengakui bidang seni mural mampu memberikan pulangan yang baik kepada penggiat seni itu, sekiranya diuruskan secara profesional dan disokong pula dengan permintaan pasaran.

“Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan sebagai artis sepenuh masa. Di Kuala Lumpur, peluang dalam industri ini lebih luas berbanding di Sabah kerana banyak syarikat, agensi dan jenama besar menggunakan mural sebagai medium promosi serta penjenamaan,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here