Kota Kinabalu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mencadangkan semakan semula beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick
(gambar), berkata parti itu menerima beberapa cadangan membabitkan kawasan Parlimen Kota Belud, Penampang dan Sepanggar.
“Di Kota Belud, resolusi Upko ialah mencadangkan supaya kawasan Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua kerana kini sudah mempunyai empat kawasan DUN.
“Begitu juga bagi kawasan Parlimen Penampang, Upko mencadangkan semakan semula persempadanan pilihan raya bagi mewujudkan satu lagi kerusi Parlimen dan dua lagi kerusi DUN.
“Bagi kawasan Parlimen Tuaran, saya berharap Upko Tuaran akan mengemukakan cadangan sama ada persempadanan sedia ada perlu dikekalkan atau disemak semula. Saya serahkan perkara ini kepada Upko Tuaran,” katanya.
Ahli Parlimen Penampang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Bahagian Upko Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, dekat sini.
Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, berkata Kabinet Sabah sebelum ini telah membincangkan keperluan untuk menyemak semula persempadanan kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini.
Beliau berkata cadangan parti berhubung semakan persempadanan kawasan Parlimen dan DUN itu akan dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Semua parti politik telah diminta mengemukakan cadangan masing-masing kepada Ketua Menteri. Saya percaya parti-parti komponen dalam GRS juga sedang meneliti perkara ini di peringkat parti,” katanya.
Beliau berkata cadangan persempadanan semula itu turut dibincangkan sebelum ini, termasuk dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menyaksikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri membentangkan satu kertas kerja mengenai perkara tersebut.
Bagi Sabah, pertambahan terakhir bilangan kerusi Parlimen dilaksanakan menerusi langkah persempadanan semula pilihan raya pada 2002 hingga 2003, yang mula berkuat kuasa pada Pilihan Raya Umum 2004.