Wed, 8 Jul 2026
Headlines:
Sabah Electricity ambil langkah kurangkan gangguan bekalan elektrik
Published on: Tuesday, July 07, 2026
Published on: Tue, Jul 07, 2026
By: Sidney Skinner
Text Size:
Text:
Sabah Electricity ambil langkah kurangkan gangguan bekalan elektrik
SEORANG juruteknik Sabah Electricity (SE) memeriksa voltan bekalan elektrik yang diterima pada meter pusat dialisis berkenaan.
SABAH Electricity (SE) mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di sebuah pusat komersial di Kepayan dan kawasan kediaman di Manggatal bagi mengurangkan gangguan bekalan yang menjejaskan pengguna.

Syarikat utiliti itu turut mendapatkan kerjasama kontraktor pihak ketiga supaya memaklumkan lebih awal mengenai sebarang kerja pembinaan terutama yang melibatkan pelebaran jalan atau pemasangan utiliti bawah tanah.

Advertisement
Menurut SE langkah itu penting bagi membolehkan perancangan dibuat lebih awal sekali gus mengurangkan kemungkinan gangguan bekalan elektrik akibat kerja-kerja pengorekan.

KERJA-KERJA pengorekan yang dijalankan di tapak pembinaan ini. Tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada seorang pesakit buah pinggang di Penampang dan seorang pemilik apartmen di Manggatal.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Pesakit berkenaan mendakwa terpaksa menunggu lebih tiga jam untuk menjalani rawatan dialisis apabila pusat dialisis yang dikunjunginya di Kepayan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Sementara itu seorang penduduk apartmen di Manggatal meluahkan rasa kecewa selepas berdepan gangguan bekalan elektrik berulang kali sepanjang tiga hari.

Advertisement
Dalam kejadian paling serius bekalan elektrik di kediamannya terputus selama tiga jam 30 minit pada waktu pagi sebelum gangguan kedua berlaku pada malam yang sama selama enam jam 40 minit.

Kedua-dua individu berkenaan memberikan maklumat terperinci mengenai pengalaman mereka kepada Hotline sebelum aduan itu dipanjangkan kepada SE.

Advertisement
Jurucakap SE berkata pemeriksaan segera dilakukan terhadap pemasangan elektrik yang membekalkan tenaga ke premis-premis perniagaan di Blok A, Lorong Pusat Komersial 88 sejurus syarikat itu dimaklumkan mengenai gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan pusat dialisis berkenaan.

“Anggota kami turut memeriksa kemudahan elektrik di pusat dialisis itu bersama kakitangan premis bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai situasi bekalan elektrik di lokasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak kemudian mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik berulang pada masa hadapan.

Terdapat kabel bawah tanah SE di sepanjang Kilometer 20, Jalan Tuaran didapati telah rosak.Menurutnya kakitangan SE turut menjalankan pemeriksaan terhadap aset-aset syarikat yang berhampiran Blok A.

“Hasil pemeriksaan mendapati sistem bekalan elektrik di kawasan Kepayan itu beroperasi dalam keadaan normal dan selamat ketika pemeriksaan dijalankan,” ujarnya.

Beliau berkata semakan rekod SE bagaimanapun mendapati pusat komersial berkenaan pernah mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih 180 minit, tiga hari sebelum pemeriksaan itu dilakukan.

Menurutnya kakitangan pusat dialisis membuat laporan kepada SE kira-kira jam 11.06 pagi dan bekalan elektrik berjaya dipulihkan sekitar jam 2.20 petang.

“Sebaik sahaja menerima laporan mengenai gangguan itu, kami segera menggerakkan pasukan teknikal ke lokasi.

“Bagaimanapun ketika itu kami menerima peningkatan mendadak aduan gangguan bekalan elektrik menyebabkan kakitangan perlu menangani setiap kes mengikut keutamaan. 

“Apabila tiba di pusat dialisis berkenaan, juruteknik kami mendapati fius perlindungan fasa kuning pada meter premis telah terbakar,” jelasnya.

Menurut jurucakap berkenaan kerja pembaikan dilakukan serta-merta di lokasi kejadian.

“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan fius tersebut terbakar,” katanya.

Mengenai gangguan bekalan elektrik di apartmen di Manggatal pula jurucakap itu berkata pekerja sebuah kontraktor pihak ketiga telah beberapa kali mengorek dan merosakkan kabel elektrik bawah tanah di sepanjang Kilometer 20, Jalan Tuaran.

Katanya kejadian itu menjejaskan sistem bekalan voltan tinggi 11 kilovolt (kV) dan 33kV di kawasan berkenaan.

“Kontraktor terbabit sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan di kawasan Manggatal ketika kejadian berlaku.

“Bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas mengambil sedikit masa untuk dipulihkan selepas setiap gangguan kerana juruteknik kami perlu menjalankan ujian terhadap sistem bagi memastikan ia benar-benar selamat sebelum bekalan disambung semula,” maklumnya.

Beliau berkata kontraktor terbabit telah diberi peringatan keras supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan kerja pembinaan agar tidak lagi merosakkan aset Sabah Electricity (SE) di kawasan berkenaan.

“Namun begitu memandangkan gangguan berulang yang menyusahkan pengguna, kami memutuskan untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada pengguna di Bandar Sierra melalui sumber tambahan iaitu Pencawang Pembahagi Utama Gudon (Gudon Main Distribution Substation). 

“Langkah ini diambil bagi menambah baik keadaan bekalan elektrik di kawasan apartmen dan pusat komersial berhampiran,” ujarnya.

SE sebelum ini mengakui bahawa kerosakan tidak sengaja terhadap pemasangan elektrik, termasuk talian atas dan tiang elektrik, merupakan antara punca utama gangguan bekalan elektrik di negeri ini.

“Perkara ini lebih kerap berlaku di kawasan luar bandar. Kontraktor tanpa disedari terkena kabel bawah tanah ketika kerja penggalian sekali gus mewujudkan titik lemah pada sistem di lokasi berkenaan. 

“Bahagian yang rosak akan dibaiki, namun ‘titik lemah’ ini boleh menyebabkan masalah pada sistem pada masa akan datang,” kata seorang lagi jurucakap SE sebelum ini.

Beliau berkata wakil SE boleh ditempatkan di tapak pembinaan bagi mengurangkan risiko kerosakan tidak sengaja terhadap aset syarikat.

“Bagaimanapun perkara ini hanya boleh dilakukan jika kami dimaklumkan lebih awal mengenai lokasi kerja-kerja tersebut. 

“Oleh itu kami menasihatkan pemaju dan kontraktor supaya memaklumkan kepada kami terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang projek,” tambahnya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here