SANDAKAN: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dan sebuah kedai di Lorong 3, Batu Putih, awal pagi Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Zarman Salamat, 30, ditemui rentung di dalam bilik rumah berkenaan oleh anggota bomba kira-kira jam 6.04 pagi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.56 pagi sebelum sepasukan 12 anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.05 pagi, kira-kira sembilan kilometer dari balai dan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 60 x 40 kaki serta sebuah kedai berukuran 15 x 40 kaki terbakar sepenuhnya.
“Mangsa merupakan seorang rakyat tempatan dan pemilik rumah berkenaan ditemukan rentung di dalam bilik ketika operasi pemadaman dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Jimmy berkata operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
Operasi berjaya dikawal pada jam 5.34 pagi. Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dijalankan.