Kota Kinabalu: Sabah perlu mempercepatkan penggunaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap diesel serta membina masa depan tenaga yang lebih mampan.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata Sabah dikurniakan sumber semula jadi yang melimpah khususnya cahaya matahari yang boleh dimanfaatkan untuk menyediakan bekalan elektrik yang lebih bersih, boleh dipercayai dan mampu milik.
“Tenaga merupakan keperluan asas dalam kehidupan moden. Tiada apa yang dapat bergerak tanpa bekalan kuasa. Rumah, industri, hospital, sekolah dan hampir semua peralatan yang menggunakan motor memerlukan tenaga untuk beroperasi,” katanya ketika berucap pada pameran penyelesaian solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri bertemakan Powering Sabah Beyond Diesel anjuran BSL Eco Energy dan Huawei, Ahad.
Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata bahan api fosil seperti diesel dan petrol masih merupakan antara sumber tenaga yang paling banyak digunakan namun ia membawa kesan terhadap alam sekitar.
Beliau berkata ketidaktentuan geopolitik global turut meningkatkan cabaran yang berkaitan dengan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.
“Penyelesaian yang diperkenalkan hari ini iaitu gabungan tenaga solar dengan sistem penyimpanan tenaga bateri, membolehkan kita memanfaatkan sumber ini untuk menjana bekalan elektrik yang lebih bersih, lebih boleh dipercayai dan semakin mampu dimiliki,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian tenaga boleh diperbaharui mampu memberi manfaat lebih besar kepada komuniti luar bandar melalui penyediaan akses elektrik, meningkatkan kesalinghubungan serta membuka lebih banyak peluang.
“Bagi perniagaan dan industri, ia bermakna kos operasi yang lebih rendah dan daya saing yang lebih tinggi. Bagi alam sekitar pula, ia membantu mengurangkan jejak karbon di daratan dan perairan yang menjadikan Sabah begitu istimewa,” katanya.
Joachim berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) serta usaha Kerajaan Negeri memperkukuh industri bekalan elektrik Sabah.
“Menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah, kami sedang membangunkan rangka kerja bagi mengawal selia, memperkukuh dan memodenkan industri bekalan elektrik negeri ini di samping memperluaskan akses, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan dan menambah perkongsian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga kita,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak mampu melaksanakan transformasi itu secara bersendirian dan memerlukan kerjasama pemain industri serta rakan teknologi.
“Keupayaan inovasi dan pelaburan syarikat seperti BSL Eco Energy, bersama teknologi bertaraf dunia daripada rakan seperti Huawei akan menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Joachim turut menggesa pemain industri, usahawan dan pemimpin komuniti supaya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membangunkan penyelesaian tenaga yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Bantu kami menerangi kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik. Bantu kami mengurangkan kos tenaga untuk rakyat dan perniagaan.
“Bersama-sama, kita mampu membawa Sabah melangkaui penggunaan diesel, bukan sekadar sebagai slogan, tetapi sebagai satu realiti,” katanya.