SABAH berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam pelaburan berimpak dengan memanfaatkan kekayaan modal semula jadi, kepelbagaian budaya dan sektor ekopelancongan yang semakin berkembang bagi memacu pembangunan mampan serta inklusif.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, negeri ini mempunyai kelebihan unik untuk menyumbang kepada agenda pembangunan mampan menerusi aset semula jadinya yang luar biasa, termasuk Gunung Kinabalu, biodiversiti marin Sipadan yang terkenal di dunia, Hutan Simpan Danum Valley, Lembangan Maliau, dataran banjir Kinabatangan dan Taman Tun Mustapha.
“Melindungi alam semula jadi bukan sekadar tanggungjawab terhadap alam sekitar, malah merupakan strategi ekonomi yang bijak.
“Hari ini, pelancong semakin mencari pengalaman yang autentik, bermakna dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Mereka mahukan destinasi yang memelihara alam semula jadi, meraikan budaya tempatan serta memberi manfaat sebenar kepada komuniti setempat.
“Sabah sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi semua jangkaan ini,” katanya.
Jafry berkata, kekayaan budaya Sabah juga amat signifikan dengan 33 kumpulan etnik utama, lebih 50 bahasa dan sekurang-kurangnya 80 dialek, manakala sejarah arkeologi negeri ini menjangkau lebih 200,000 tahun.
“Ada pepatah yang mengatakan, mengenali Sabah ialah mencintai Sabah. Keindahan alam dan kepelbagaian budaya inilah identiti serta warisan kami.
“Sabah sentiasa terbuka kepada perdagangan dan pelaburan. Pelancongan merupakan antara sumber pendapatan terpenting rakyat, manakala ekopelancongan kini semakin mendapat perhatian apabila masyarakat semakin sedar tentang hubungan manusia dengan alam semula jadi dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, Sidang Kemuncak Sulung Pelaburan Berimpak Asia Pasifik dan Pembangunan Mampan Sabah 2026 yang berlangsung selama dua hari menjadi platform praktikal untuk menjana idea, kerjasama dan pelaburan bagi membentuk masa depan yang lebih mampan untuk Sabah, Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
Lebih 300 peserta mewakili lebih 170 organisasi menghadiri sidang kemuncak itu, termasuk pelabur, pemimpin pasaran modal, organisasi filantropi, agensi pembangunan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, agensi kerajaan, ahli akademik, wakil komuniti pribumi dan pemimpin belia dari dalam serta luar negara.
Antara tetamu yang hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi, bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Hong Kong Eddy Fong, pelabur yang mempunyai kepentingan di Sabah serta wakil pasaran modal Hong Kong.
Jafry berkata, sidang kemuncak itu menghimpunkan pelbagai pihak yang berkongsi komitmen untuk memacu pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, pelaburan berimpak kini muncul sebagai kelas aset yang semakin matang dan mampu menjana pulangan kewangan di samping menghasilkan impak sosial dan alam sekitar yang boleh diukur.
“Kita memerlukan gabungan pelabur filantropi, pelabur berimpak serta pelabur institusi termasuk dana pencen, syarikat insurans dan dana kekayaan berdaulat yang mampu menggabungkan kepakaran, pengalaman dan pembiayaan bagi memacu pembangunan sosial, ekologi dan inklusif.
“Kami percaya terdapat peluang besar untuk Sabah, dalam rantau Asia Pasifik yang dinamik, menerajui projek penangkapan karbon, pemulihan hutan, perlindungan biodiversiti, pembangunan luar bandar yang inklusif serta projek tenaga alternatif, makanan dan air,” katanya.
Menurut beliau, banyak perusahaan ekopelancongan berasaskan komuniti, perusahaan budaya masyarakat pribumi dan program pemuliharaan di Sabah telah memberi impak positif, namun memerlukan akses lebih besar kepada pembiayaan jangka panjang bagi merealisasikan potensi sepenuhnya.
Katanya, kementeriannya bersama agensi di bawahnya bersedia bekerjasama dengan pelabur yang berminat dalam projek ekopelancongan melalui InvestSabah.
“Pertama, kepada pelabur dan pengunjung dari dalam dan luar negara, beritahu kami minat anda dan rakan-rakan saya akan membantu mengenal pasti projek atau program yang sesuai.
“Kedua, kepada NGO, institusi penyelidikan, universiti dan organisasi pemuliharaan, kami memerlukan kepakaran anda untuk memperkasa pengetahuan serta melatih komuniti dan usahawan sosial dalam melindungi hutan, sungai, terumbu karang, hidupan liar dan biodiversiti Sabah.
“Ketiga, kepada semua tetamu dari Malaysia dan luar negara, ambillah peluang untuk menikmati pengalaman Sabah melangkaui persidangan ini,” katanya.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan penganjur dan penyokong sidang kemuncak, termasuk George Town Institute of Open and Advanced Studies, Wawasan Open University, World Wide Fund for Nature (WWF), Habitat Foundation, Community Empowerment Initiative Sabah (CEI Sabah), InvestSabah serta rakan media Daily Express.
Beliau berharap sidang kemuncak itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak persahabatan, kerjasama dan pelaburan yang berkekalan.
“Datanglah kembali ke Sabah untuk menikmati kekayaan alam semula jadi, budaya dan makanan kami. Semoga persahabatan yang terjalin hari ini menjadi permulaan kepada perjalanan bermakna ke arah masa depan yang mampan, hijau dan inklusif,” katanya.