KIULU: Kiulu berpotensi muncul sebagai hab utama pengeluaran padi bukit di Sabah sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan agropelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata potensi itu mampu direalisasikan menerusi sokongan serta bimbingan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) dalam membangunkan tanaman padi bukit secara lebih sistematik dan berdaya saing.
“Saya yakin dengan sokongan dan bimbingan Maffi, Kiulu mampu menjadi antara kawasan utama pengeluaran padi bukit di Sabah, sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor agropelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kebun Dapur di sini, pada Selasa.
Program berkenaan dianjurkan Pejabat Daerah Kecil Kiulu dengan kerjasama Pejabat Adun Kiulu serta sokongan Maffi yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar.
Menurut Joniston, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) mengenal pasti beberapa kawasan di Kiulu termasuk Kampung Tomis Jaya dan Kampung Tomis Mangi Pangi untuk dipertimbangkan di bawah Skim Bantuan Padi Bukit.
Bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara terancang, beliau berkata kerjasama semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kiulu akan dilaksanakan bagi mengumpulkan data penduduk yang berminat mengusahakan tanaman padi bukit serta mengenal pasti keluasan tanah yang sesuai untuk dibangunkan.
“Setiap cadangan pembangunan perlu disokong oleh data yang tepat bagi memastikan perancangan lebih berkesan, bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan pelaksanaan projek mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata sektor pertanian dan pelancongan merupakan dua tonggak penting dalam memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar di Kiulu.
Sehubungan itu, katanya, sebahagian besar peruntukan tahunan kawasan Dun Kiulu disalurkan bagi meningkatkan infrastruktur pertanian khususnya pembinaan dan naik taraf jalan ladang bagi memudahkan akses petani ke kawasan tanaman.
“Sejak tahun lalu hingga tahun ini, kira-kira RM3 juta diperuntukkan untuk pembinaan dan menaik taraf hampir 90 jalan pertanian sekali gus memberi manfaat kepada hampir 2,000 petani serta membuka akses kepada hampir 5,000 ekar tanah pertanian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Joniston berkata Kiulu turut memperluaskan potensi agropelancongannya menerusi kerjasama antarabangsa apabila bakal memeterai Memorandum Kerjasama dengan bandar Maijia di Wilayah Pingtung, Taiwan bagi memperkukuh perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pembangunan luar bandar secara mampan.
Beliau berkata Kiulu juga dijangka mencipta sejarah sebagai destinasi pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Cittaslow, sebuah rangkaian antarabangsa yang mengiktiraf komuniti yang mengutamakan pembangunan mampan, pemeliharaan identiti tempatan serta peningkatan kualiti hidup penduduk.
Ketika ini, Kiulu yang diiktiraf kerajaan negeri sebagai model pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti mempunyai lebih 80 pengusaha pelancongan yang menawarkan pelbagai produk berteraskan alam semula jadi, budaya dan komuniti setempat.
Kiulu yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di parlimen Tuaran meliputi kawasan seluas 676 kilometer persegi dengan jumlah sekitar melebih 50,000 penduduk.
Kawasan bentuk muka bumi yang berbukit dan mempunyai sungai itu, majoritinya dihuni oleh masyarakat Dusun dengan 106 kampung menjadikannya DUN terbesar dalam Parlimen Tuaran.
Kebanyakan penduduk yang menetap masih mengusahakan pertanian seperti padi sawah, padi bukit, pokok getah, buah-buahan dan sebagainya.