Wed, 15 Jul 2026
Headlines:
Bekas jurutera dakwa miliki 26 hartanah jana pendapatan sewa
Published on: Tuesday, July 14, 2026
Published on: Tue, Jul 14, 2026
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Bekas jurutera dakwa miliki 26  hartanah jana pendapatan sewa
Ismail berkata sebanyak RM100,800 hasil sewaan diisytiharkan kepada LHDN bagi tahun 2016.
Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah pada Isnin diberitahu bahawa bekas Ketua Jurutera Jabatan Kereta Api Negeri Sabah mempunyai beberapa sumber pendapatan selain emolumen termasuk hasil sewaan daripada 26 hartanah yang terdiri daripada rumah, pangsapuri dan tanah.

Memberi keterangan membela diri di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi, Ismail Ahmad, 65, berkata hartanah berkenaan dimiliki olehnya, ibu bapanya serta dua isterinya Muhilim @ Masniah Buaya @ Buayie dan Runtiah Rais sebelum disewakan kepada pihak ketiga dengan kutipan sewaan diuruskan olehnya.

Advertisement
Pesara itu berkata sebahagian hasil sewaan diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) manakala sebahagiannya tidak diisytiharkan kerana ada bayaran diterima lewat dan pengisytiharan jumlah yang lebih tinggi akan meningkatkan cukai yang perlu dibayar.

Ismail berkata sebanyak RM100,800 hasil sewaan diisytiharkan kepada LHDN bagi tahun 2016.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Menurut Ismail kebanyakan bayaran sewa diterima secara tunai sebelum disimpan di rumah dan kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima bayaran matang polisi insurans berjumlah RM332,461.80 yang dikreditkan terus ke akaun bersama OCBC miliknya dengan isteri kedua pada Oktober 2014.

Advertisement
Selain itu Ismail mendakwa menerima RM80,000 daripada hasil matang polisi insurans ibunya sebagai hadiah pada 2016 serta RM80,000 lagi daripada wang matang polisi insurans bapanya yang diserahkan oleh adik perempuannya.

Ismail berkata beliau telah mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan aset dan pendapatan pada 2018 melalui surat bertarikh 12 Jun 2018 berserta dokumen berkaitan.

Advertisement
Beliau berkata memiliki beberapa hartanah sewaan termasuk rumah di Taman Austral, Kendara Apartment, Taman Kemajuan dan Hartamas Height.

Katanya terdapat juga hartanah milik ibu bapanya serta kedua-dua isterinya yang menjana pendapatan sewa, termasuk kediaman di Sandakan dan Penampang serta tanah pertanian di Kudat dan Beaufort.

Menurutnya kesemua 26 hartanah itu disewakan kepada penyewa dan hasil sewanya dikutip olehnya.

Ismail turut memberitahu mahkamah bahawa beliau memperoleh pinjaman peribadi daripada beberapa individu antara 2010 hingga 2014 dengan wang pinjaman diterima antara 2013 hingga 2016 bagi tujuan pelaburan pasaran saham serta mendapatkan kadar pertukaran mata wang asing yang lebih baik untuk membiayai pengajian anak-anaknya di luar negara.

Katanya individu yang memberi pinjaman terdiri daripada saudara-mara dan rakan-rakan. Ismail menegaskan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bersama HSBC miliknya dengan isteri pertama antara Mac hingga September 2016 adalah hasil pendapatan sewa, bayaran matang insurans dan pinjaman peribadi.

Menurutnya beliau mengendalikan sendiri akaun HSBC itu serta membuat semua deposit tunai tanpa pengetahuan atau penglibatan isterinya.

Penjelasan sama turut diberikan berhubung akaun bersama OCBC dengan isteri keduanya yang menurut beliau turut menerima wang daripada sumber yang sama dan dikendalikan sepenuhnya olehnya.

Ismail didakwa bersama isteri pertamanya atas pertuduhan melibatkan wang berjumlah RM275,550 yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram antara Mac hingga September 2016 di cawangan HSBC Kota Kinabalu.

Beliau turut didakwa bersama isteri keduanya membabitkan wang berjumlah RM133,300 yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram antara Februari hingga September 2016 di cawangan OCBC Bank Kota Kinabalu.

Runtiah turut berdepan lima lagi pertuduhan berasingan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM30,000 yang didakwa hasil aktiviti haram di beberapa cawangan Maybank di Karamunsing, Putatan dan Kampung Air serta Pos Malaysia Putatan pada 1 Julai 2016.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi  jika sabit kesalahan.

Menjawab soalan peguamnya semasa pemeriksaan utama Ismail berkata pendapatannya sebenarnya lebih tinggi daripada yang dipersembahkan di mahkamah kerana memiliki pelbagai hartanah yang menjana pendapatan sewa.

“Saya tidak suka membiarkan aset tanpa menjana pendapatan. Semua aset yang saya miliki akan saya bangunkan supaya memberikan pulangan.

“Mungkin ramai penjawat awam menganggap saya seorang yang rasuah kerana mereka tidak tahu saya mempunyai banyak pendapatan daripada aset-aset yang disewakan,” katanya.

Apabila ditanya sama ada wang berkenaan adalah hasil aktiviti haram atau rasuah, Ismail menjawab “Tidak.”

Ismail dan kedua-dua isterinya diwakili peguam Zahir Hussein Ahmad Shah, Datuk Rizwandean M Borhan dan Elhanan James manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Haresh Prakash Somiah dan Nurul Izzati Sapifee.

Perbicaraan ditangguhkan ke 3 hingga 5 Ogos.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here