KENINGAU: Sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit terbakar di Jalan Ansip berhampiran simpang menuju ke Kilang Yun Fuk pada Ahad.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota yang diketuai Ranizan Samirin ke lokasi kejadian kira-kira 38 kilometer dari balai.
Advertisement

Setibanya di lokasi pada jam 5.02 petang, anggota bomba mendapati api sedang marak dan merebak ke keseluruhan lori berkenaan.
Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengelakkan api terus merebak. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.24 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian.
Selepas pemeriksaan rapi dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api dan kawasan disahkan selamat, operasi ditamatkan.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu mahupun orang awam.
Advertisement

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.