KAKITANGAN Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membersihkan sebanyak 540 bangkai tikus dari 26 lokasi berasingan dalam kawasan pentadbirannya sepanjang separuh pertama tahun ini.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK berkata jumlah itu menunjukkan penurunan kecil namun memberangsangkan berbanding jumlah tikus yang dimusnahkan antara Januari hingga Jun tahun lalu.

Menurutnya kira-kira 559 bangkai tikus telah dikutip dari 22 kawasan dalam tempoh sama pada 2025.
“Jumlah bangkai tikus tertinggi dalam tempoh enam bulan lalu direkodkan di Pasar Besar dan Pasar Ikan dengan 70 ekor, diikuti medan selera Anjung Kinabalu (46 ekor) dan Kampung Air (42 ekor),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha kawalan tikus yang dijalankan pihak DBKK di sekitar bandar raya.
Sebaliknya katanya medan selera Anjung Senja mencatatkan jumlah paling rendah dengan hanya tiga bangkai tikus dibersihkan dari kawasan berkenaan.
Beliau berkata pasukan lapan anggota daripada Unit Kawalan Vektor (VCU) DBKK biasanya menjalankan kerja meletakkan racun tikus di lokasi sasaran setiap bulan bagi mengawal populasi haiwan perosak itu.
“Kami menggunakan racun jenis antikoagulan yang menyebabkan pendarahan secara perlahan pada tikus yang memakannya.
“Biasanya tikus akan mati di dalam lubang persembunyiannya, sekali gus mengurangkan jumlah bangkai yang ditemui di kawasan awam tempat racun itu ditaburkan,” ujarnya.
Beliau berkata VCU DBKK telah menghentikan penggunaan racun dalam bentuk serbuk berikutan keadaan cuaca basah yang semakin kerap berlaku di Kota Kinabalu kerana serbuk tersebut mudah larut apabila terkena air hujan.
“Kami bercadang meningkatkan usaha kawalan di kawasan yang mencatatkan jumlah kematian tikus tinggi pada tahun hadapan dengan menaburkan racun di lokasi berkenaan dua kali sebulan,” tambahnya.
Selain itu katanya pegawai kesihatan DBKK juga akan memberi penerangan secara terus kepada orang awam mengenai langkah yang boleh diambil bagi membantu mengurangkan populasi tikus di kawasan berkenaan.
“Risalah mengenai cara-cara untuk melakukannya juga mungkin akan diedarkan kepada penduduk dan mereka yang bekerja di kawasan terbabit bagi mengukuhkan lagi maklumat yang telah disampaikan,” maklumnya.
Jurucakap itu berkata DBKK komited untuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan tikus seperti Hantavirus dan Leptospirosis daripada berlaku dalam kawasan pentadbirannya.
“Orang ramai berdepan kemungkinan dijangkiti Hantavirus atau Leptospirosis sekiranya bersentuhan dengan air kencing haiwan perosak berkenaan,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai supaya lebih proaktif dalam menjaga kebersihan kawasan sekitar premis masing-masing.
“Kami menggalakkan mereka menjaga ruang yang diduduki dengan lebih teliti supaya kawasan berkenaan tidak menjadi tempat pembiakan tikus.
“Premis mereka hendaklah sentiasa berada dalam keadaan baik dan terurus,” tegasnya.
Jurucakap itu berkata Pusat Komersial Salut, Manggatal Plaza dan Pusat Komersial Kepayan selain premis di sepanjang Jalan Haji Saman baru-baru ini telah dimasukkan ke dalam senarai kawasan operasi kawalan tikus DBKK.
Katanya antara kawasan di ibu negeri yang sering dipantau oleh Unit Kawalan Vektor termasuk Jalan Gaya, Jalan Pantai, Lorong Dewan (deretan kedai Fu Yen), Bandaran Berjaya, Kampung Air, Asia City, Api-Api, Sinsuran dan Segama.

Turut menjadi tumpuan ialah medan selera Anjung Senja, Pasar Besar Kota Kinabalu (bahagian basah dan kering), medan selera Anjung Kinabalu serta gerai penjaja berhampiran bulatan yang menempatkan patung ikan marlin.
Beliau berkata antara kawasan di luar pusat bandar yang turut dipantau termasuk flat Tanjung Aru, pekan Tanjung Aru, Taman Awam Likas, pekan Inanam, pekan Telipok dan pekan Manggatal.
Berhubung operasi kawalan tikus di Segama jurucakap itu berkata DBKK tidak hanya bergantung kepada penggunaan racun tikus bagi mengurangkan populasi haiwan perosak berkenaan.
“VCU masih meneruskan kerja menabur racun di kawasan sekitar deretan kedai pada selang masa yang ditetapkan.
“Namun sejak kebelakangan ini, sebuah syarikat kawalan makhluk perosak turut memasang stesen umpan tikus di kawasan umum,” katanya.
Beliau berkata kira-kira 200 stesen umpan tikus telah dipasang di lokasi strategik di bahagian luar beberapa blok kedai di kawasan berkenaan.
“Kami menggesa orang ramai supaya tidak mengusik atau mengubah kedudukan struktur berkenaan kerana tindakan itu boleh menjejaskan keberkesanan usaha kawalan tikus yang sedang dijalankan,” tambahnya.