Sun, 19 Jul 2026
Headlines:
Sedco libat urus komuniti Kudat perancangan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat
Published on: Saturday, July 18, 2026
Published on: Sat, Jul 18, 2026
Text Size:
Text:
Sedco libat urus komuniti Kudat perancangan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat
MASIUNG (tengah) bergambar bersama tetamu lain pada program itu.
KUDAT: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) menegaskan komitmennya untuk memastikan cadangan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (KBEIP) dibangunkan bersama masyarakat dan demi kepentingan rakyat menerusi libat urus yang inklusif dengan komuniti setempat.

Komitmen itu dizahirkan menerusi siri sesi libat urus komuniti dan lawatan tapak yang diadakan pada 15 dan 16 Julai di Kampung Limau-Limauan, di sini.

Advertisement
Sedco berkata libat urus itu bukan sekadar latihan perancangan teknikal, sebaliknya mencerminkan keyakinan perbadanan bahawa pembangunan mampan perlu bermula dengan mendengar aspirasi, kebimbangan dan harapan komuniti yang akan menerima kesan langsung daripada projek berkenaan.

Diamanahkan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan Pelan Induk KBEIP, projek itu akan dibangunkan di atas kira-kira 1,205 ekar tanah milik Sedco dengan matlamat mewujudkan hab pertumbuhan ekonomi baharu bagi utara Sabah sambil memelihara warisan alam sekitar dan budaya Kudat.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Sesi libat urus yang diselaraskan bersama Pejabat Daerah Kudat itu menghimpunkan penduduk dan pemimpin komuniti Kampung Limau-Limauan, ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kudat (JTPDK), serta wakil Parlimen Kudat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, Tanjong Kapor dan Matunggong.

Delegasi Sedco diketuai Pengerusinya Datuk Masiung Banah, diiringi Pengurus Besar Kumpulan Datuk Ir James Wong Kein Peng dan Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Azrul Ahmad.

Advertisement
Turut hadir Pegawai Daerah Kudat Charles William Dabbi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin serta wakil pelbagai agensi kerajaan.

Sepanjang sesi itu, Sedco menerima maklum balas daripada komuniti setempat mengenai pelbagai perkara penting termasuk isu tanah, infrastruktur, utiliti, perlindungan alam sekitar, perikanan, pemuliharaan hutan bakau, peluang pekerjaan serta penglibatan usahawan tempatan dalam aktiviti ekonomi pada masa depan.

Advertisement
Sedco menegaskan sesi libat urus itu bukan sekadar proses konsultasi, sebaliknya merupakan sebahagian penting daripada proses perancangan bagi memastikan Pelan Induk KBEIP benar-benar mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat.

Semua maklum balas, kebimbangan dan cadangan yang dikemukakan akan dinilai serta dipertimbangkan dalam usaha memperhalusi pelan pembangunan berkenaan.

Sekiranya dilaksanakan, KBEIP berpotensi menjadi pemangkin transformasi ekonomi mampan dengan menarik pelaburan domestik dan antarabangsa, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, menyokong pembangunan kemahiran serta memperkukuh industri tempatan di Kudat, Banggi, Kota Marudu dan Pitas.

Sedco membayangkan KBEIP sebagai ekosistem perindustrian yang inklusif, dengan komuniti tempatan memainkan peranan aktif sebagai rakan dalam pertumbuhan ekonomi.

Peluang dijangka diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, logistik, perkhidmatan maritim, pengeluaran makanan, penyelenggaraan, hospitaliti serta industri sokongan, sekali gus membolehkan usahawan dan perniagaan tempatan menyertai rantaian nilai industri.

Masiung berkata kejayaan pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan infrastruktur atau nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya melalui impak positif yang dibawa kepada masyarakat.

“Kejayaan KBEIP tidak akan ditentukan oleh bangunan yang kita dirikan, tetapi oleh kepercayaan yang kita bina bersama komuniti. 

“Objektif kita adalah memastikan kemajuan ekonomi bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, keterangkuman sosial dan peluang yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata Sedco kekal komited bekerjasama rapat dengan rakyat Kudat sepanjang proses perancangan, kerana pembangunan mampan jangka panjang hanya dapat dicapai menerusi perkongsian tulen, ketelusan dan saling menghormati.

Kajian Pelan Induk KBEIP kini berjalan lebih awal daripada jadual dan telah memasuki peringkat interim. Kajian itu dijangka siap sebelum akhir 2026 sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan lanjut.

Selaras dengan misinya memperkasa usahawan Bumiputera, Sedco turut mengumumkan hasrat untuk bekerjasama dengan perniagaan tempatan yang layak di Kudat dan kawasan sekitarnya menerusi inisiatif Tabung Usahawan Bumiputera yang akan diperkenalkan.

Menerusi inisiatif itu, Sedco bercadang memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan bersih tahunannya bagi pembangunan keusahawanan untuk membantu perniagaan tempatan membina kapasiti bagi merebut peluang ekonomi yang bakal diwujudkan melalui KBEIP.

Sedco berkata pihaknya akan terus memastikan suara komuniti kekal menjadi teras dalam setiap peringkat perancangan KBEIP bagi meletakkan asas kepada pembangunan yang mampu mentransformasikan ekonomi, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan memberi manfaat kepada generasi akan datang di Sabah.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here