PERTIKAIAN tanah adat yang berlarutan tanpa penyelesaian selama bertahun-tahun telah menyebabkan penduduk di Paginatan kehilangan peluang mengusahakan tanah dan mendapatkan pembiayaan, kata Adun Paginatan Datuk Rusdin Riman, yang menggesa pelantikan Pegawai Adat baharu bagi mempercepat penyelesaian kes.
Beliau berkata ketiadaan pegawai penyiasat yang berkelayakan di bawah undang-undang sedia ada menjadi punca utama pertikaian adat berlarutan selama berbulan-bulan, malah bertahun-tahun di kawasan beliau. Apabila pertikaian sempadan tanah adat atau pelanggaran sogit tidak disiasat dengan cepat dan profesional, tanah adat itu akhirnya terhalang daripada sebarang aktiviti pembangunan ekonomi.
“Penduduk kampung tidak dapat mengusahakan tanaman komersial atau memohon pembiayaan mikro kerana pertikaian adat masih tergantung tanpa kepastian dari segi undang-undang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026.
Beliau berkata Fasal 4 yang memperkenalkan Seksyen 5A baharu bagi membolehkan pelantikan Pegawai Adat dalam kalangan penjawat awam negeri akan berfungsi sebagai mekanisme audit penyiasatan dan kawalan risiko bagi sistem Mahkamah Anak Negeri.
“Di bawah Subseksyen 5A(3), Pegawai Adat yang dilantik akan bertindak sebagai pegawai pematuhan dengan kuasa rasmi untuk menerima aduan, menjalankan siasatan dan memulakan prosiding bagi kesalahan adat di mahkamah secara sistematik serta berasaskan bukti.
“Pegawai Adat yang bebas daripada konflik kepentingan di peringkat tempatan mampu mempercepatkan siasatan dan pada masa sama membuka potensi ekonomi tanah adat yang selama ini terbiar di Paginatan serta seluruh Sabah,” katanya.
Advertisement

Mengenai implikasi kewangan pindaan itu, Rusdin berkata perbelanjaan tambahan bagi membayar emolumen Pegawai Adat baharu di bawah Seksyen 5A serta mengurus operasi majlis di bawah Seksyen 6 tidak seharusnya dianggap sebagai beban.
“Ini bukan kos hangus atau beban fiskal. Sebaliknya, ia adalah pelaburan produktif dan pelaburan sosial yang memberi pulangan tinggi.
“Apabila institusi adat diurus secara cekap, kos ketidakcekapan sosial seperti pertikaian komuniti, kerosakan harta benda dan lambakan tuntutan di mahkamah sivil dapat dikurangkan dengan ketara.
“Kestabilan sosial di kawasan luar bandar merupakan prasyarat penting untuk menarik pelaburan swasta dalam sektor agropelancongan dan pertanian di daerah seperti Ranau,” katanya.
Rusdin turut mengaitkan Fasal 3 yang memasukkan Perenggan 2A baharu bagi memberi kuasa kepada majlis menasihati kerajaan negeri mengenai pendidikan adat dan undang-undang adat anak negeri dengan pembangunan kemahiran belia di kawasannya.
“Kita tidak boleh melihat pendidikan adat hanya sebagai satu mata pelajaran di bilik darjah. Saya mencadangkan Perenggan 2A dijadikan asas untuk merangka program akreditasi dalam pentadbiran undang-undang adat bagi golongan belia di Sabah.
“Belia di Ranau dan daerah lain yang memiliki diploma atau ijazah boleh dilatih secara profesional menerusi modul yang dibangunkan majlis, meliputi kodifikasi adat, kemahiran penyiasatan, pengurusan dokumen perundangan dan tatacara mahkamah supaya mereka boleh diserap sebagai Pegawai Adat di bawah Seksyen 5A atau penolong pentadbir di pejabat daerah,” katanya.
Beliau berkata Fasal 5 yang meminda Subseksyen 6(1) dengan memasukkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sebagai ahli **ex officio** serta meningkatkan bilangan ahli pakar daripada enam kepada sembilan mencerminkan amalan tadbir urus korporat yang baik.
Rusdin menyifatkan rang undang-undang itu sebagai satu reformasi yang matang dan tersusun kerana bukan sahaja mempertahankan identiti masyarakat anak negeri, malah membuka potensi ekonomi luar bandar serta mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya berkemahiran kepada golongan belia.
“Saya yakin meluluskan pindaan ini merupakan tanggungjawab pentadbiran dan moral yang perlu kita laksanakan demi masa depan generasi akan datang,” katanya.