Tenom: Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Maba–Matrix Ke-30 2026 selepas muncul juara pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Sri Panglima Antanom pada sabtu.
Kejayaan itu menyaksikan Negeri Sembilan merangkul gelaran juara buat kali kelapan selepas menewaskan Putrajaya dengan jaringan 93-63, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala iringan.
Putrajaya menerima hadiah RM2,500 selaku naib juara manakala Johor menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM1,000.
Pasukan tuan rumah Sabah pula menamatkan saingan di tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM500.
Kejohanan yang menghimpunkan lapan pasukan terbaik dari seluruh negara itu berlangsung dengan penuh semangat kesukanan serta menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu dan memperkukuh pembangunan sukan bola keranjang negara.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, Datuk Jamawi Jaffar.
Advertisement

Dalam ucapannya, Jamawi berkata penganjuran kejohanan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola keranjang khususnya di Tenom, selain berharap lebih banyak kejohanan seperti itu dapat dianjurkan pada masa akan datang.
Menurut beliau, penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan bukan sahaja memberi peluang kepada atlet mencungkil bakat, malah turut membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Pada kejohanan itu, Jamawi turut menyumbang RM25,000 bagi menyokong penganjuran.