PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam membuat laporan polis pada Selasa berhubung penularan klip video seks sejenis seseorang yang didakwa mirip menteri kabinet persekutuan.
Menurut laporan Utusan Online, Lokman membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sekitar jam 3 petang, pada Selasa.
“Saya mahu pihak polis menyiasat kesahihan video itu, siapa yang menyebarkannya dan juga ‘pelakon’ yang terlibat,” Lokman dipetik sebagai berkata oleh The Star.
Video itu, memaparkan aksi seks dua lelaki, menjadi tular menerusi WhatsApp awal Selasa.
Salah seorang lelaki terbabit dikatakan mirip seorang menteri persekutuan.
China Press melaporkan video itu dihantar ke sebuah kumpulan WhatsApp diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’ pada pagi Selasa, sebelum tersebar ke platform media sosial lain.
Advertisement

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau mengetahui mengenai kewujudan video itu.
“Saya tidak tahu mengenai perkara ini, saya baru sahaja mengetahuinya,” Mahathir dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insight selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini pada Selasa.
“Kalau awak boleh bagi ‘briefing’, (tunjukkan) boleh juga,” katanya, disusuli gelak tawa beberapa menteri yang turut menghadiri sidang media itu.
Mereka adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
Sekurang-kurangnya tiga klip video memaparkan keadaan dalam sebuah bilik hotel dengan suara berita asing kedengaran dalam rakaman itu.
Turut tersebar ialah perbualan seks antara individu itu dengan pasangannya yang didakwa pegawai kepada seorang timbalan menteri.