Kota Kinabalu: Seorang pengawal keselamatan kelab malam berusia 35 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen ada Rabu atas pertuduhan merogol seorang pelajar yang dipercayai pelanggan kelab berkenaan.
Shah Rizal Sazry mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal. Mengikut pertuduhan Shah Rizal didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu di tingkat satu kawasan parkir kelab malam di Penampang pada 11 Julai tahun ini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan RM5,000 didepositkan bersama dua penjamin tempatan.
Shah Rizal turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasportnya jika ada kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir hadir bagi pihak pendakwaan manakala Shah Rizal tidak diwakili peguam.