PENAMPANG: Polis menafikan kesahihan satu infografik tular yang mendakwa memaparkan tangkapan berkaitan kes khianat, sambil menegaskan bahan itu bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” itu mula tular di pelbagai platform media sosial sejak Jumaat.
Advertisement

“Kami mengesahkan infografik itu adalah palsu, tidak sah dan bukan dikeluarkan PDRM,” katanya menerusi kenyataan.
Sammy berkata infografik berkenaan menyalahgunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian serta gambar dan maklumat peribadi seorang individu tanpa kebenaran bagi mengelirukan orang ramai.
Beliau berkata perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu seperti itu adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan reputasi pihak yang terlibat.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau apa-apa implikasi yang timbul akibat penyebaran infografik palsu itu,” katanya.
Sammy berkata individu yang terlibat menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan kandungan palsu atau jelik menerusi kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.
Beliau berkata Akta Kanak-Kanak 2001 juga boleh terpakai sekiranya bahan itu melibatkan imej, identiti atau maklumat peribadi seorang kanak-kanak yang dilindungi di bawah undang-undang.
“Kami mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum disahkan.
“Sebarang maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis hanya akan disalurkan menerusi platform komunikasi rasmi Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Sammy turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu itu supaya menghubungi IPD Penampang bagi membantu siasatan.